Home » Langit Terbuka » Cadangan wajib sesi kaunseling babit pindaan akta, persetujuan negeri

Cadangan wajib sesi kaunseling babit pindaan akta, persetujuan negeri

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. - Foto Asia News Today

KUALA LUMPUR – Beberapa penambahbaikan termasuk pindaan ke atas Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, perlu dilakukan sekiranya cadangan mewajibkan sesi kaunseling terhadap setiap pasangan yang hendak memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah dilaksanakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata cadangan itu juga harus dibincangkan dan mendapat persetujuan negeri, berikutan bidang kuasa agama terletak bawah negeri.

“Kita menyambut baik cadangan ini, namun beberapa penambahbaikan seperti pindaan terhadap Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam harus dilakukan.

“Pada masa sama, kita perlu menempatkan kaunselor terlatih dan profesional dalam bidang keluarga Islam di jabatan agama.

“Pelaksanaannya juga harus menghormati semangat federalisme dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan sesi kaunseling kepada pasangan yang hendak memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah, bagi menangani peningkatan kes cerai terutama dalam kalangan pasangan Islam.

Menjelaskan lanjut, Ahmad Marzuk berkata buat masa ini, Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dan Negeri-Negeri tidak mewajibkan sesi kaunseling sebelum memfailkan permohonan cerai.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada proses Jawatankuasa Pendamai jika Mahkamah Syariah berpendapat masih ada ruang perdamaian pasangan terbabit, berdasarkan Seksyen 47 akta atau enakmen berkenaan.

“Jabatan Agama Islam seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga mempunyai Unit Rundingcara Keluarga yang memberi nasihat dan kaunseling bagi masalah dihadapi dalam rumah tangga,” katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *