Home » Citra Yadim » Contohi keperibadian Rasulullah dalam pendidikan dan kepimpinan

Contohi keperibadian Rasulullah dalam pendidikan dan kepimpinan

KAJANG – Para pelajar disaran untuk mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW dalam bidang pendidikan dan kepimpinan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz berkata, sikap junjungan besar yang mengutamakan pendidikan kepada umat Islam selain menunjukkan keterampilan terpuji dalam memimpin masyarakat perlu diamalkan pelajar.

“Semua sektor memerlukan kepada kepemimpinan yang baik, begitu juga dalam bidang pendidikan,”ujar beliau semasa merasmikan penutupan  Nadwah Kepimpinan Islam  Sekolah Berasrama Penuh ke 39 Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di sini pada 24 Julai.

Program di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di sini  itu berlangsung sejak 20 Julai lalu, menghimpunkan kira kira 280 pelajar dari 69 sekolah berasrama penuh seluruh negara.

Objektif program adalah untuk melahirkan kepimpinan berkualiti, beridealisme Islam dan berjiwa dakwah dalam kalangan pelajar sekolah berasrama penuh pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Nik Omar dalam ucapannya turut menekankan kepentingan pembinaan sahsiah dan jati diri para pelajar, terutamanya jika mereka beraspirasi hendak menjadi seorang pemimpin.

Menurutnya, setiap perubahan ke arah menjadi insan yang lebih baik bermula dari dalam diri sendiri. Beliau memberikan perumpamaan sebiji buah yang baik dan mampu dijual pada harga yang mahal dinilai pada isi dalamnya, bukan pada kulitnya.

Seterusnya, beliau memberikan contoh antara ciri lain yang menunjukkan keterampilan seorang pemimpin yang baik ialah kemampuannya menunaikan janji.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dalam  ucapannya ketika slot beliau, menggariskan beberapa  ciri penting untuk menjadi seorang Tekno Daie pada ketika ini.

Ciri pertama katanya ialah rajin membaca kerana seorang pendakwah memerlukan ilmu pengetahuan yang bukan daripada bidang agama semata mata.

Yang kedua jelasnya, ialah menjaga akhlak kerana golongan sasaran dakwah akan lebih tertarik kepada pendakwah yang mempunyai penambilan bersih dan menarik, selain peribadi baik.

”Ciri ketiga ialah mempunyai kemahiran menyampaikan dakwah dalam bentuk mudah difahami agar mesej yang hendak disampaikan diterima dengan jelas,” ujarnya.

Pada masa yang sama katanya, para Tekno Daie perlu berfikiran terbuka, sedia menerima perbezaan pandangan.

Tuan Kamarul turut menekankan kepentingan supaya seorang Tekno Daie itu tidak mengamalkan sikap suka melabel individu lain.

 

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *