Home » Langit Terbuka » Daftar pengundi usia 17 tahun

Daftar pengundi usia 17 tahun

Cadangan mewajibkan pelajar tingkata 5 mendafar sebagai pengundi perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu belia tidak mendaftar sebagai pemilih.

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Peraturan mewajibkan pelajar Tingkatan Lima mendaftar sebagai pengundi antara cadangan penambahbaikan bagi mengatasi isu kegagalan golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun mendaftar sebagai pemilih.

Prapendaftaran sebagai pemilih itu dijangka membolehkan lebih 90 peratus belia mendaftar sebagai pengundi baharu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum pengesahan pendaftaran dibuat ketika usia mencecah 21 tahun.

Panel Perunding Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata, kegagalan membuat pengesahan pada usia 21 tahun tidak akan menjejaskan pendaftaran automatik pada usia berkenaan kerana ia hanya menentukan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Beliau berkata, SPR akan menentukan lokasi mengundi bagi individu yang gagal membuat pengesahan berdasarkan alamat ketika prapendaftaran.

Katanya, walaupun tiada paksaan untuk menjadikan rakyat di negara ini sebagai pemilih secara automatik, mekanisme prapendaftaran akan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjadi pengundi di peringkat awal, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang.

“Masalah menjejaki pengundi muda dapat diatasi jika prapendaftaran dilaksanakan dalam kalangan pelajar Tingkatan Lima kerana pihak sekolah masih mempunyai kawalan ke atas mereka.

“Mekanisme ini perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu belia tidak mendaftar sebagai pemilih. Cadangan ini boleh dibawa ke Parlimen dalam bentuk penggubalan Rang Undang-Undang untuk dibahas dan diluluskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehingga suku kedua tahun lalu, SPR melaporkan 14.6 juta rakyat negara ini mendaftar sebagai pengundi manakala 3.7 juta lagi yang kebanyakannya golongan belia berusia 21 hingga 39 tahun belum berbuat demikian.

Ismail yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut mencadangkan kerajaan meniru langkah Korea Selatan yang mewajibkan individu menjadi pengundi jika mahu memohon bekerja di sektor awam.

Beliau berpendapat kegagalan belia mendaftar sebagai pemilih kerana melihat senario politik yang menjejaskan pandangan mereka terhadap masa depan, sedangkan jika tidak menggunakan hak itu, mereka tiada ruang dan peluang menentukan kerajaan.

“SPR tidak sepatutnya berharap kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak yang dilantik atau parti politik untuk membuka kaunter pendaftaran kerana sambutan yang diterima masih dingin.

“SPR wajar lebih proaktif bergerak dari rumah ke rumah mencari belia untuk didaftarkan sebagai pengundi baharu. Difahamkan orang Melayu paling kurang mendaftar sebagai pemilih berbanding bangsa lain,” katanya.

Sementara itu pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata fenomena belia tidak mahu mendaftar sebagai pemilih kemungkinan ada kaitan dengan senario politik tanah air yang diselubungi oleh berita berbentuk toksik atau palsu.

Beliau berkata, kemungkinan juga golongan muda tidak mahu dikaitkan dengan senario seperti itu dan enggan mengambil tahu mengenai politik negara.

“Proses mendaftar memerlukan sedikit pengorbanan masa dan mereka berasakan pengorbanan ini tidak memadai dengan hanya satu undi yang dimiliki.

“Apa yang dikhuatiri adalah pemikiran seperti ini hanya berpihak kepada golongan tertentu seperti anak muda di bandar atau dari kaum tertentu, maka pola pengundian akan menjadi berat sebelah dan keputusan pilihan raya umum tidak menggambarkan kehendak pengundi.

“Masalah lebih meruncing bila pengundi muda berusia 21 hingga 45 tahun yang sedia ada merangkumi kumpulan majoriti yang dikatakan pengundi atas pagar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkepentingan perlu meyakinkan anak muda bahawa undi mereka akan mewarnai nasib masa depan negara, sekali gus tidak membiarkan hanya kumpulan tertentu menentukan bentuk kerajaan yang akan mengurus negara. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *