Home » Langit Terbuka » Daie Muda YADIM Sertai Program Belia MABIMS

Daie Muda YADIM Sertai Program Belia MABIMS

SINGAPURA – Program NextGen 2026 – Simposium Belia Islam dan Harmony Games 2026 menjadi platform penting dalam mempertemukan generasi muda Muslim dari negara-negara anggota MABIMS.

Program yang disertai oleh belia dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura itu dianjurkan bagi memperkukuh jaringan, perkongsian ilmu serta semangat keharmonian serantau.

Berlangsung pada 11 hingga 14 September 2026 di Singapura, program anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) ini memberi ruang kepada belia untuk bertukar pandangan, memperluas jaringan serta meneroka cabaran dan peluang yang dihadapi generasi Muslim dalam dunia semasa.

Antara pengisian utama ialah Simposium Belia Islam yang menampilkan sesi ucaptama dan dialog bersama Mufti Singapura, Ustaz Dr. Nazirudin Mohd Nasir selain perbincangan panel berkaitan integrasi nilai keimanan dan kehidupan profesional.

Program tambah bermakna dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) Singapura, Dr Syed Harun Alhabsyi, yang menekankan kepentingan belia Muslim mengekalkan nilai agama seperti integriti, belas ihsan, kecemerlangan dan khidmat kepada masyarakat dalam membina kerjaya.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Encik David Neo dan Ketua Elsekutif Majlis Ugama Islam Singapura, Encik Kadir Maideen Mohamed.

YADIM  turut mengambil bahagian dalam program ini dengan diwakili oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyelarasan NGO, Daie Muda YADIM (DMY) Luqman Hakimi Abdul Rahman dan Penolong Pengarah Unit Undang-Undang, DMY Iman Danial Razali, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penglibatan belia Malaysia dalam jaringan belia Muslim serantau.

Selain pengisian berbentuk ilmu dan pembangunan kerjaya, Harmony Games 2026 turut memberi penekanan kepada aktiviti sukan, kesihatan, interaksi dan komuniti sebagai medium membina persahabatan serta persefahaman antara belia dari negara-negara anggota MABIMS.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *