Home » Langit Terbuka » Dakwaan Malaysia ke arah sekularisme berniat jahat – Mohd Na’im

Dakwaan Malaysia ke arah sekularisme berniat jahat – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. — Foto/Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menafikan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab mengenai Malaysia kini ke arah sekularisme.

Katanya kenyataan itu adalah amat tidak cermat serta bersifat provokatif yang tidak berasas.

“Sebarang dakwaan Malaysia kini ke arah sekularisme atau menakut-nakutkan rakyat bahawa gerakan dakyah agama lain ke atas umat Islam dibenarkan atau digalakkan adalah tidak benar sama sekali serta berniat jahat bagi menghasut serta mengeruhkan hubungan aman, damai dan harmoni di antara masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan pada 10 Julai 2023 bahawa sekularisme yang mengetepikan dan mengasingkan antara agama dan kerajaan sepenuhnya tidak dapat diterima di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau pendirian Malaysia adalah konsisten sejak dahulu lagi dan ini termaktub di dalam Perlembagaan Negara bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam.

“Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama tertinggi dalam negara.

“Perkara ini menjadi asas dalam pembentukan negara Malaysia dan terpelihara dengan jaminan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.

Tegasnya semua parti politik yang sah dan berdaftar di Malaysia menerima dan mengakujanji prinsip asas perlembagaan negara ini.

Selain itu parti politik dan warganegara yang setia kepada negara menerima jaminan kedudukan Raja-Raja Melayu, Agama Islam, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera termasuk Bahasa Melayu.

“Kita boleh berbeza pendapat tentang idea, dasar dan pentadbiran tetapi janganlah semata-mata bermusuhan kerana identiti, kaum dan agama.

“Perbuatan terus menerus menghasut dan mengajak kepada kebencian dan permusuhan serta mencabuli larangan 3R (Mengganggu-gugat Institusi Raja, Kaum dan Agama) adalah perbuatan amat tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip Islam,” katanya. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *