Home » Persuasif » Dakwah seni budaya di Nusantara

Dakwah seni budaya di Nusantara

Fenomena nasyid merupakan produk langsung kebangkitan Islam yang menghendaki bentuk dan kesenian yang menyerlahkan ajaran Islam yang fundamental.

Oleh AMIN FADLILLAH

Perkembangan Islam dan dakwah di rantau ini amat berkait rapat dengan kewujudan entiti seni dan budaya sebagai alat yang berkesan dalam penyebaran Islam. Dalam kesusteraan dan sejarah penyebaran Islam di Nusantara yang biasa kita baca, pendekatan seni yang digunakan oleh para pendakwah telah berjaya menarik masyarakat praIslam untuk memeluk Islam dengan pantas dan mengagumkan.

Hal ini misalnya dapat dilihat dalam strategi dan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Sunan Kalijogo, salah satu tokoh dan watak penting Wali Songo (sembilan pendakwah Islam di pulau Jawa). Dalam menghadapi masyarakat yang mempertahan dan mengamalkan tradisi dan kepercayaan lama yang masih kental dan kuat dipegang, Sunan Kalijogo tidak serta-merta melarang atau mengharamkan tradisi itu. Sebaliknya, Sunan Kalijogo mengubahsuai dan mengisi kesenian dan budaya masyarakat praIslam dengan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Kesenian yang amat digemari orang Jawa seperti wayang kulit dengan cerita mengenai tuhannya Hindu Sang Hyang Widi Wasa atau tokoh Arjuna diganti dengan cerita kepahlawanan sahabat Nabi dalam era awal kelahiran Islam. Begitu juga dengan upacara keagamaan tertentu yang diwarisi dari kepercayaan kuno atau bahkan dari animisme diganti dengan upacara Islam seperti tahlil dan majlis kesyukuran.

Di dataran semenanjung Melayu, pendekatan yang dilakukan oleh pendakwah Islam juga hampir sama. Para ulama dan pendakwah Islam menggunakan kebijaksanaan dalam mempengaruhi Raja-raja Melayu untuk memeluk Islam dengan cara yang santun. Para pendakwah menghormati tradisi dan amalan pembesar kerajaan yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Sebagaimana yang dicatat dalam karya Syed Naquib al Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, pendakwah Islam mengetahui bahawa para Raja begitu kuat memegang tradisi dan budaya yang mengakar dari ajaran Hindu/Buddha yang mereka anuti. Oleh itu, ulama dan pendakwah Islam menggunakan pendekatan berhemah dan melakukan penyesuaian terhadap budaya yang sedia ada sehinggalah para Raja itu berminat dan memeluk Islam dengan cara dakwah yang sedemikian.

Para ulama dan pendakwah Islam pada masa itu percaya bahawa pendekatan akomodasi terhadap seni dan tradisi masyarakat yang berakar daripada Hindu/Buddha lebih berkesan dalam menakluki hati manusia kepada agama baharu yang sama sekali belum mereka kenali. Mereka menolak menggunakan cara dan kaedah secara penyebaran doktrin atau terus mengharamkan amalan masyarakat yang sudah sebati dalam hidup mereka.

Pendekatan penyebaran doktrin iaitu menyampaikan ajaran Islam secara hitam putih dan keras seperti demarkasi antara halal dan haram, ancaman neraka dan kebahagian syurga yang abadi, pembanterasan kemungkaran tanpa kompromi dan sebagainya hanya akan membawa ketakutan dan hilang rasa simpati masyarakat agraris yang berpegang kuat dengan tradisi dan kepercayaan nenek moyang mereka.

 

Pendekatan dakwah

Pada perkembangan seterusnya, seiring dengan pengukuhan Islam sebagai agama ‘mainstream‘ di rantau ini, terdapat beberapa pendekatan dan kaedah dakwah yang beragam yang digunakan oleh entiti dan komuniti Islam di rantau ini. Di satu pihak, terdapat golongan Islam yang masih kekal mempertahankan model dan kaedah dakwah yang diperkenalkan oleh Wali Songo dengan beberapa penyesuaian dan improvisasi sewajarnya sesuai dengan keadaan semasa.

Manakala di pihak lain, wujud pendekatan yang merupakan anti-tesis kepada pendekatan pertama. Golongan ini kurang apresiatif dan menolak pendekatan pertama kerana dianggap tidak menepati ajaran dan tafsiran Islam yang mereka anut. Mereka berpandangan, pendekatan kebudayaan dan kesenian yang digunakan oleh pendakwah Islam generasi pertama tidak sesuai lagi dengan keadaan semasa.

Di Indonesia, pendekatan kategori pertama dapat dilihat dalam Nahdlatul Ulama (NU), NGO Islam terbesar dengan anggaran 40 juta ahli. Sedangkan di Malaysia, dapat dilihat dalam kumpulan-kumpulan tarekat dan NGO Islam berhaluan tradisional.Golongan ini percaya pendekatan dakwah melalui seni dan kebudayaan yang berakar pada tradisi tempatan menjadi kaedah yang berkesan dalam menyampaikan pesan dan ajaran agama selagi tradisi itu tidak bertentangan dengan prinsip Islam.

Bagi mewadahi misi untuk melestarikan nilai dan seni tradisi keislaman, NU membentuk Lembaga Seni dan Budaya Muslim Indonesia (Lesbumi). Perkara yang menarik dalam organisasi ini ialah selain diberi amanah untuk mempertahan dan melestarikan seni budaya Islam, Lesbumi juga menghasilkan filem dengan tema dakwah dan keislaman.

Lantaran itu, beberapa seni dan budaya yang menjadi kegemaran masyarakat Islam tetap dilestarikan sehingga kini misalnya kesenian rebana dan kasidah di Indonesia, kompang di Malaysia, pembacaan barzanji dan burdah yang disertai dengan iringan alat musik tradisional. Bagi golongan ini, menerusi media seni dan budaya yang tidak melanggar nas-nas agama, kefahaman dan kesedaran Islam akan semakin dihayati.

Ini termasuklah dengan kemunculan fenomena zikir dan selawat perdana yang merata-rata di seluruh pelosok di rantau ini. Bacaan selawat yang diiringi dendangan alat muzik tradisional yang diperkenalkan oleh Habib Syech Assegaf menjadi kaedah yang amat berkesan dan mengagumkan dalam menarik minat orang ramai untuk menghadiri majlis berkenaan. Puluhan ribu hingga ratusan ribu orang berpusu-pusu hadir ke majlis selawat yang turut diisi dengan solat berjemaah dan ceramah agama.

Malah, disebabkan pesona dan daya tarik yang luar biasa dalam menyedut orang ramai, ia dimanfaatkan oleh pemimpin-pemimpin negara untuk dijadikan sebagai agenda tetap dalam memperingati hari-hari penting seperti hari kemerdekaan, ambang tahun baharu dan peringatan hari-hari besar dalam takwim Islam seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan sebagainya. Majlis ini telah berjaya menyatupadukan komuniti Islam tanpa mengira perbezaan ideologi politik yang selama ini menjadi tembok tebal yang memisahkan kesatuan Islam.

Menarik kiranya pengamatan bukan Islam Jocelin Tan  yang menulis dalam akhbar The Star bahawa pendekatan dakwah yang memadukan seni dan selawat ini “to have taken Malaysia by storm and Muslims from both sides of the political divide have flocked to his events. Since then, similar “Cinta Rasul” (love for the Prophet) events featuring Habib Sheikh have taken place in other states” (Sunday Star 11 Mei 2014).

Itulah namanya dakwah meski disaluti dengan gubahan muzik dan dendangan lagu (selawat). Ia juga termasuk syiar Islam yang dilakukan oleh pemuda-pemudi yang menyerukan keluhuran Allah yang Maha Tinggi, menarasikan kecintaan kepada Rasulullah melalui selawat dan zikir. Itu termasuk dakwah kerana dakwah memiliki makna yang luas. Dakwah memang bermakna menyeru, mengajak dan menyampaikan ajakan kepada kebaikan dan memantapkan ajaran agamanya.

Di pihak lain, terdapat golongan umat Islam yang tidak sependapat dengan kaedah dan pendekatan yang diperkenalkan oleh golongan pertama. Golongan ini berpendapat, pendekatan seni dan dakwah sepertimana yang ditonjolkan dalam kaedah Wali Songo dan majlis zikir perdana perlu dilakukan secara hati-hati agar tidak dianggap menyeleweng dari kerangka Islam. Menurut hujah mereka, perkara ini tidak ada contohnya dalam amalan Nabi dan sejarah perkembangan awal Islam.

Namun, bukan bermakna mereka menolak sama sekali pendekatan seni budaya dalam berdakwah. Golongan ini percaya bahawa pendekatan seni budaya dalam dakwah cukup penting bagi menyampaikan pesanan Islam. Akan tetapi pendekatan yang mereka pakai berasaskan kepada pendekatan alat muzik dan alat visual moden seperti filem, muzik pop dan bahkan nasyid. Dalam konteks Indonesia, pendekatan sebegini digunakan oleh Muhammadiyah, iaitu NGO Islam yang berhaluan modenis-reformis, manakala di Malaysia diserlahkan oleh pertubuhan Islam yang banyak berpengkalan di bandar seperti ABIM, IKRAM dan sebagainya(tentang aliran-aliran Islam, lihat misalnya kajian Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran).

Oleh sebab itu, apabila kemunculan golongan modenis-reformis ini, salah satu langkah awal dalam pendekatan dakwah mereka ialah mentajdid atau menentang praktik kesenian dan budaya yang dianggap tercampur dengan unsur khurafat dan tidak sesuai dengan prinsip Islam. Penolakan yang dilakukan tanpa kompromi kerana dianggap mencemari akidah Islam.

Dari segi kadar apresiasi dan penerimaan budaya dan seni tradisional di antara dua golongan Islam itu juga berbeza. Hal ini misalnya dapat dilihat dalam kesenian dan muzik rakyat seperti dangdut di Indonesia atau tarian makyong di Malaysia. Golongan pertama menerima seni dan tradisi masyarakat tersebut dengan pengubahsuaian sesuai tuntutan agama. Seperti cara berpakaian penyanyinya yang menutup aurat dan lirik lagunya berunsur dakwah. Golongan ini tidak menolak sama sekali muzik rakyat kerana menyedari itu kegemaran masyarakat bawah dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengukuhkan kefahaman agama menerusi seni.

Apabila berlakunya kebangkitan Islam pada era tahun 1970-an, kumpulan ABIM, golongan agamawan di pentadbiran agama dan komuniti Islam lain yang berhalauan sama menolak kesenian tradisional yang mendedahkan aurat dan berunsur khurafat. Tidak ada ruang sama sekali bagi seni budaya yang tidak sesuai dengan tafsiran Islam yang ketat meskipun untuk tujuan dakwah sekalipun.

Apabila berlakunya kebangkitan Islam pada era tahun 1970-an, kumpulan ABIM, golongan agamawan di dalam pentadbiran agama dan komuniti Islam lain yang berhalauan sama menolak kesenian tradisional yang mendedahkan aurat dan berunsur khurafat (lihat Judith Nagata, The Reflowering of Malaysian Islam, 1984).  Tidak ada ruang sama sekali bagi seni budaya yang tidak sesuai dengan tafsiran Islam meskipun untuk tujuan dakwah sekalipun (Zainah Anwar, Islamic Revivalism in Malaysia, 1987).

 

Kemunculan nasyid

Lantaran itu, kemunculan kumpulan nasyid pada tahun 1990-an merupakan manifestasi kepada kehendak dan tafsiran golongan ini. Fenomena nasyid merupakan produk langsung kebangkitan Islam yang menghendaki bentuk dan kesenian yang menyerlahkan ajaran Islam yang fundamental. Selari dengan kesedaran dan penghayatan agama yang semakin meningkat, kemunculan nasyid mendapat sambutan yang hebat daripada umat Islam.

Bahkan, menurut kajian Joel S. Kahn dalam artikelnya yang bertajuk Islam, Modernity and the People in Malaysia (ISEAS, 2003), populariti dan penerimaan nasyid pada era itu mengetepikan filem dan lagu P Ramlee yang sejak berdekad lamanya menjadi kegemaran masyarakat Islam di Malaysia. Imej dan penampilan Raihan, peneraju awal kumpulan nasyid, yang Islamik dan menepati dahaga umat Islam terhadap kesenian Islam di tengah gempuran budaya Barat yang merosakkan menjadikan nasyid sebagai duta kesenian Islam dan pendekatan dakwah.

Ala kulli hal, pada asasnya, seni dan dakwah merupakan perkara yang baik dan malah ia cukup penting. Ini kerana sifat tabii manusia yang menyukai keindahan seni dan hiburan. Dalam nas al-Quran dan al-Hadis pun tiada keterangan yang menegah atau menganjurkan. Dalam dakwah, menggunakan media apapun tiada masalah. Apapun bentuk dan pendekatan dakwah dan seni yang digunakan semua baik asalkan ia tidak melanggar dalil syarak dan ketentuan agama.

Perkara yang lebih penting dan jauh lebih utama ialah berapa banyak komitmen kita dalam menyumbangkan tenaga, fikiran, idea, gagasan, material, program yang nyata dalam dakwah dan bagi meneruskan kesinambungan misi agama yang dibawa oleh Nabi penutup segala Nabi ini? Ini yang lebih penting berbanding kita sibuk mempertikai pendekatan dakwah yang digunakan orang lain sedangkan diri kita sendiri tidak berbuat apa-apa. – MAJALAH DAKWAH

 

Amin Fadlillah adalah koresponden dan penulis khas Majalah Dakwah di Indonesia

 

 

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *