Home » Langit Terbuka » Dasar MADANI lonjak ekonomi negara, tarik keyakinan pelabur

Dasar MADANI lonjak ekonomi negara, tarik keyakinan pelabur

Foto The Star

SETAHUN pentadbiran kerajaan Malaysia MADANI menyaksikan beberapa dasar baharu diperkenal untuk merangka hala tuju negara yang lebih ke hadapan, di sebalik cabaran ekonomi global berpanjangan serta pemulihan ekonomi pasca COVID-19 masih terus bergelut.

Sebaik pentadbiran baharu kerajaan Persekutuan dibentuk pada November 2022, gagasan Malaysia MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari lalu, bagi menggantikan konsep Keluarga Malaysia dibawa pentadbiran terdahulu.

Sesuai temanya, ‘Membangun Malaysia MADANI’, pendekatan dirumus itu bertujuan mencipta lonjakan baharu kepada negara, dengan fokus bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan negara, tetapi turut menyentuh mencorak masa hadapan serta memenuhi potensi rakyat serta negara.

Seiring dengan temanya itu juga, gagasan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ diluncurkan pada 27 Julai lalu sebagai kerangka ekonomi baharu berperanan menstruktur semula ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.

Ia sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini, mencakupi isu jangka panjang, terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan.

Seiring pelancaran Ekonomi MADANI itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) turut dilancarkan pada hari sama, diikuti Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang menjengah pada Oktober. Di bawah NETR, dasar tenaga itu memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin akan membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Salah satu projek meganya ialah Zon Tenaga Boleh Baharu (TBB) bersepadu akan dipacu Khazanah Nasional Bhd (KHAZANAH) dan dijalankan melalui usaha sama antara UEM Group (UEM) dan ITRAMAS Corp Sdn Bhd (ITRAMAS), dengan satu gigawatt (GW), loji jana kuasa fotovoltaik solar hibrid (PV) adalah terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

HETR pula menetapkan sasaran kepada Malaysia untuk meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya AS$189.19 bilion (RM824 bilion) menjelang 2050. Pelaksanaan HETR dijangka menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030, disamping berupaya mewujudkan lebih 45,000 peluang pekerjaan sehingga 2030.

Sementara itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) diluncur pada 1 September lalu akan memberi tumpuan pula kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan jangkaan limpahan hasil lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara. Menerusi NIMP juga, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976, yang di bawah purata kebangsaan walaupun peranan dominan sektor itu dalam KDNK.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang kemudiannya dibentang di Dewan Rakyat pada 11 September lalu menjadi ‘enjin’ dalam memastikan matlamat serta sasaran digariskan dalam setiap dasar diumum dapat dipenuhi dan dicapai. Dibawah KSP RMK12 juga, kerajaan menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.

Bidang keutamaan rakyat

Peningkatan itu bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat. Seusai pembentangan KSP RMK12, Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ dibentang pada Oktober dan diluluskan di Dewan Rakyat pada November.

Belanjawan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM393.8 bilion, dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Dalam tempoh 12 bulan pentadbiran kerajaan Malaysia MADANI, limpahan pelaburan besar mula diraih negara. Persetujuan syarikat terkemuka dunia seperti Geely, Tesla Inc, Amazon, NVIDIA Corporation serta Infineon Technologies AG (Infineon) untuk menggandakan pelaburan atau memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan, membuktikan keyakinan mereka terhadap hala tuju ekonomi negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Disember lalu mengumumkan, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan RM225 bilion dalam tempoh sembilan bulan 2023, pencapaian tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Daripada RM225 bilion ini, sejumlah 55.9 peratus disumbangkan daripada pelaburan langsung asing (FDI), manakala baki 44.1 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI), dengan pelaburan diraih itu turut menyaksikan sejumlah 89,495 pekerjaan baharu diwujudkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Secara keseluruhannya juga, Perdana Menteri pada akhir bulan lalu turut mengumumkan keseluruhan RM347 bilion komitmen pelaburan berjaya diraih kerajaan dalam tempoh setahun pentadbirannya.

Genap tempoh setahun pentadbirannya, Anwar turut mengumumkan rombakan barisan Kabinetnya pada 12 Disember lalu, antara lain bagi memperkukuh serta menstruktur semula peranan anggota pentadbirannya dalam mendepani isu serta mencapai setiap inisiatif yang diumum menerusi dasar diluncur kerajaan.

Dalam pada itu, pendirian tegas Malaysia dalam menuntut penyelesaian segera dalam perang Palestin-Israel serta tuntutannya ke atas kedaulatan negara Palestin di pentas antarabangsa terus konsisten.

Malaysia, yang sudah membuat penghantaran kira-kira 100 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza setakat ini, terus menggunakan pembabitan serta pengaruhnya di pentas antarabangsa untuk terus mendesak negara kuasa besar dunia, supaya kezaliman dan penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza oleh rejim Zionis dihentikan segera, sementara bantuan kemanusiaan dibenar masuk tanpa halangan atau sekatan.

Tuntutan dan desakan berterusan Malaysia itu disuarakan Anwar sendiri pada persidangan antarabangsa antaranya Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *