Home » Langit Terbuka » DBKL benarkan perhimpunan ICERD Sabtu ini

DBKL benarkan perhimpunan ICERD Sabtu ini

Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, selepas berbincang dengan pelbagai pihak seperti Polis Diraja Malaysia, penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang - Foto The Star

KUALA LUMPUR- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran terhadap penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata melalui kelulusan itu, pihak penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja di antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula jam 2 hingga 6 petang.

“Kami menerima permohonan pada 27 November daripada pihak penganjur perhimpunan berkenaan yang bercadang membuat perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember.

“Selepas berbincang dengan lebih mendalam, pihak kami memutuskan perhimpunan ICERD boleh diadakan di Jalan Raja saja pada tarikh berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Menara DBKL, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Nor Hisham berkata, keputusan itu dibuat memandangkan perhimpunan berkenaan adalah satu perhimpunan kesyukuran.

“Kami bersetuju dan berharap perhimpunan itu diadakan secara aman damai, sejahtera dan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Saya juga berharap kebenaran ini dapat dilaksanakan dengan baik. Saya percaya PDRM akan memantau perkara ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, Dataran Merdeka dan Jalan Raja akan ditutup bermula Jumaat selain beberapa jalan berhampiran lokasi itu.

Katanya, maklumat terperinci berhubung perhimpunan berkenaan akan diputuskan PDRM dalam satu mesyuarat yang akan diadakan Rabu ini.

Menurutnya, permohonan mengadakan perhimpunan itu dibuat tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) dan Persatuan Bekas Anggota Tentera Tidak Berpencen (Daulat).

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *