Home » Langit Terbuka » Denmark: Umat Islam didakwa bawa mudarat bila berpuasa

Denmark: Umat Islam didakwa bawa mudarat bila berpuasa

Menteri Integrasi Denmark, Inger Stoejberg.

HELSINKI 22 Mei – Menteri Integrasi Denmark, Inger Stoejberg menegaskan umat Islam yang berpuasa dalam bulan Ramadan tidak seharusnya bekerja kerana tindakan itu berbahaya dari segi keselamatan bagi pekerjaan ter­tentu.

Ini kerana tempoh berpuasa yang panjang boleh membahayakan pekerja dalam beberapa bidang tertentu dan menyebabkan ibadah itu ‘membahayakan untuk semua’.

Stoejberg yang merupakan anti pendatang dalam isu imigresen bagi kerajaan berhaluan kanan Denmark mempersoalkan sejauh mana kesesuaian rukun Islam yang berusia 1400 tahun’ dengan amalan pasaran buruh yang mo­den.

Dalam kenyataannya yang disiarkan dalam akhbar tabloid BT, menteri itu memberikan contoh prestasi pemandu bas yang boleh terjejas kerana tidak makan dan minum pada siang hari dalam bulan Ramadan ini.

Beliau mendesak semua umat Islam di negara-negara Nordic supaya bercuti sepanjang Ramadan bagi ‘mengelak kemungkinan buruk berlaku terhadap masyarakat Denmark.’

Pengerusi Kesatuan Islam Denmark, Pia Jardi menyifatkan kenyataan Stoejberg itu sebagai ‘idea yang benar-benar tidak masuk akal’.

“Tiada sebarang maklumat atau statistik yang menunjukkan pemandu bas atau pekerja Islam lain akan bertindak dalam keada­an membahayakan semasa ber­puasa,’’ katanya.

Menurut Pia, di kebanyakan negara Islam perniagaan dan kedai beroperasi seperti biasa.

Malah katanya, umat Islam yang berpuasa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat rehat yang cukup.

Berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia kini menjalani ibadah berpuasa sepanjang Ramadan yang bermula minggu lalu.

Kira-kira 250,000 umat Islam menetap di Denmark yang mempunyai penduduk seramai 5.7 juta orang.

Stoejberg merupakan anggota parti Liberal konservatif yang merupakan parti tunggal membentuk kerajaan minoriti negara ini dengan dipimpin oleh Perdana Menteri, Lars Loekke Rasmussen sejak 2015.

Sejak beberapa tahun lalu, wanita itu telah menjadi jurucakap kepada kerajaan untuk mengetatkan undang-undang imigresen dan suaka.

Pada 2016 Denmark melaksanakan undang-undang mewajibkan setiap pemohon suaka baharu menyerahkan barangan berharga seperti barangan kemas dan emas sebagai bayaran untuk tinggal di negara ini. – AGENSI

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *