Home » Langit Terbuka » Dewan Negara lulus usul bantah, kutuk kekejaman Israel terhadap Palestin

Dewan Negara lulus usul bantah, kutuk kekejaman Israel terhadap Palestin

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini sebulat suara meluluskan usul tergempar membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang mencetuskan pergolakan terkini di Palestin.

Usul yang dikemukakan Senator Hussin Ismail di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) mengandungi lima ketetapan termasuk membantah dan mengecam sekeras-kerasnya keganasan ke atas rakyat Palestin serta mendesak serangan Zionis Israel dihentikan telah dibahaskan oleh 10 Ahli Dewan Negara.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin ketika menggulung perbahasan memuji sokongan padu, kesatuan dan solidariti seluruh Ahli Dewan Negara yang menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib rakyat Palestin dan sebulat suara mendukung sebarang usaha dilakukan kerajaan dalam menghentikan segera kekejaman serta serangan Zionis ke atas bumi Gaza.

“Kerajaan sentiasa mendengar setiap cadangan yang dikemukakan ketika perbahasan dan bersikap terbuka dalam melaksanakan pandangan yang dilontarkan dengan matlamat akhir berusaha mengembalikan hak rakyat Palestin yang dirampas yang dinafikan rejim Zionis selama ini,” katanya.

Mohamad turut berkongsi mengenai penglibatan aktif Malaysia menyertai rundingan di peringkat antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, Persidangan Kerjasama Ekonomi Asean Pasifik (APEC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyuarakan pendirian tegas tentang perkara itu, selain berharap krisis kemanusiaan di Palestin dapat ditangani segera.

“Malaysia dan negara sepemikiran juga telah mengambil peluang di platform antarabangsa termasuk forum ekonomi untuk meneruskan tekanan di pentas antarabangsa bagi memperjuangkan isu Palestin termasuk kenyataan negara yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di PBB baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia menolak secara tegas sebarang usaha atau kenyataan bahawa Malaysia akan menyertai Perjanjian Abraham atau normalisasi hubungan dengan Israel.

Terdahulu, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad ketika membahaskan usul itu berkata seluruh rakyat termasuk Ahli Dewan Negara perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan untuk terus berusaha dan bersuara di pentas antarabangsa hingga Palestin dan rakyatnya mendapat kebebasan mutlak.

Menyuarakan nada yang sama, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yakin kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan jenayah perang dilakukan Zionis yang sejak konflik terbaharu pada 7 Okt lepas telah membunuh lebih 16,000 penduduk Palestin terutamanya kanak-kanak, wanita serta orang awam, dihentikan dan kekejaman tersebut dibawa untuk penghakiman di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dalam pada itu, Senator Prof Emiratus Datuk Seri Dr Awang Sariyan membuat kelainan apabila tampil mengutuk dan membantah kekejaman Zionis dengan cara berpuisi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata semua pihak dengan segala kudrat yang ada perlu membulat penyatuan dan tekad menggempur kekejaman Zionis hingga kemerdekaan dan kebebasan mutlak tertegak di bumi Palestin.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *