Home » Langit Terbuka » Dewan Rakyat: Hadis 40 Imam Nawawi diperluas ke semua sekolah mulai 2024

Dewan Rakyat: Hadis 40 Imam Nawawi diperluas ke semua sekolah mulai 2024

Fadhlina Sidek - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ke semua sekolah yang hanya akan melibatkan murid beragama Islam sahaja mulai 2024.

Ia susulan aktiviti penghayatan hadis 40 diadakan secara rintis tahun ini di sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dengan menggunakan modul yang mengandungi kesemua 42 hadis yang terkandung dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, modul tersebut dibangunkan oleh kementerian dan diselaraskan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan syarahan atau kupasan hadis dalam modul tersebut sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

“Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun, modul tersebut merupakan bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Oleh yang demikian, modul yang digunakan tiada pertindihan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam sedia ada.

“Justeru, kementerian merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan ini ke semua sekolah yang hanya akan melibatkan murid beragama Islam sahaja mulai 2024,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, surat siaran juga dikeluarkan bagi pelaksanaan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di SMKA dan SABK pada 4 Oktober lalu.

“Sehubungan itu, semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK perlu melaksanakan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang disesuaikan dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

“Oleh sebab itu, saya tegaskan sekali lagi bahawa syarahan yang dibuat bersama Jakim ini sangat penting untuk memastikan konteksnya itu dan pemahaman itu sampai kepada para pelajar,” katanya.

Tambahnya, pihak sekolah boleh merujuk Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dengan memuat turun modul tersebut menerusi pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) bagi memastikan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dilaksanakan dengan baik.

“Pelaksanaan di sekolah agama setakat ini berjalan baik dengan pemantauan ketat dari pejabat pendidikan daerah (PPD) serta guru dan kita sentiasa memberikan penegasan dan penjelasan bagaimana modul ini akan dibimbing khususnya pengayaan hadis di sekolah,” katanya.  – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *