Home » Analitis » Di mana khilafnya Rahmatan Lil Alamin?

Di mana khilafnya Rahmatan Lil Alamin?

Berita bertajuk “Jakim perlu betulkan konsep Rahmatan lil Alamin” yang dipetik daripada salah satu resolusi Kluster Agama Persidangan Meja Bulat pada 23 dan 24 September 2019 di Hotel Tenera Bangi adalah dirujuk.

Merujuk kepada teks asal ucapan berhubung desakan dan tuntutan yang menyatakan bahawa “Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah memperbetulkan konsep Rahmatan Lil Alamin dan Hifz Ad-Din dengan mengambil kira pandangan ulama yang muktabar daripada kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah”.

Untuk pengetahuan, inisiatif JAKIM mempromosikan gagasan Rahmatan lil Alamin , Maqasid Syariah dan model Malaysia itu kepada kementerian dan jabatan kerajaan bukanlah tindakan berdasarkan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Sebaliknya perkara berkaitan telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 yang berlangsung pada 4 Julai lalu.

Sebelum itu ia telah dibentangkan di peringkat mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-65 pada 14 Mac.

Mesyuarat itu bersetuju agar penjelasan mengenai nilai Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah – yang menjadi tunggak Gagasan Negara Rahmah – dilaksanakan oleh semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Ia rentetan daripada titah perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam Dewan Rakyat pada 11 Mac 2019 yang “amat menyokong usaha kerajaan mempromosi nilai dan budaya kerja Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah”.

Wajar juga diingatkan kembali bahawa Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, juga menyatakan ikrar dalam pertemuan sulung bersama para ulama dan cendekiawan Islam pada 31 Julai 2018 bahawa pentadbiran kerajaan baru adalah berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis sahih.

Maka Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan model Malaysia adalah gagasan untuk menterjemahkan ajaran al-Quran dan hadis sahih ke alam realiti di negara ini.

Oleh yang demikian, rujukan Jakim dalam mempromosi gagasan Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan acuan Model Malaysia adalah berlandaskan ajaran al-Quran, hadis sahih serta kupasan para ulama muktabar pada zaman klasik dan kontemporari.

Tiada satu pun rujukan dibuat kepada ideologi sekularisme atau pluralisme barat.

Untuk memantapkan lagi kupasan berkenaan Rahmatan Lil Alamin, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa menganjurkan Seminar Antarabangsa Rahmatan lil Alamin pada 19 Sept lalu.

Tokoh-tokoh ulama dan sarjana pengajian dan pemikiran Islam tempatan dan nusantara hadir membentangkan kertas kerja serta. Antara pembahas dalam gagasan itu ialah Prof Dr Muhammad Kamal Hassan (Malaysia), Prof Dr Muchlis M Hanafi (Indonesia), Prof Dr Afifi al-Akiti (Malaysia/Oxford), Prof Dr Noor Inayah Ya’akub (Malaysia), Prof Madya Dr Ismail Lutfi Japakiya (Thailand), Dr Zulkifli Mohamad (Malaysia), Prof Dr H Warul Walidin (Acheh, Indonesia), Dr Lily Suzana Samsu (Brunei) dan Mohamad Helmy Mohd Isa (Singapura).

Mereka bersepakat dan bersetuju menjadikan dasar Rahmatan Lil Alamin sebagai agenda asas negara untuk membina dan melahirkan generasi rahmah melalui pemahaman, pemupukan dan semangat toleransi dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Pendefinisian toleransi dan konsep-konsep yang tersebut perlu dibina berdasarkan nilai-nilai murni dan kearifan tempatan, bukan pinjaman dan rujukan dari aliran sekularisme, pluralisme dan perennilisme.

Sepanjang pembentangan, perbincangan dan perbahasan yang tersebut, ia tidak mendapat maklum balas daripada mana-mana pihak bahawa berlaku kesilapan atau kesalahan dalam konsep yang dipelopori Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam setiap kursus dan pembentangan, ramai peserta yang memiliki ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang masing-masing.

Mereka bukanlah orang biasa-biasa yang hanya tahu menadah maklumat yang disuapkan oleh penceramah yang dilantik JAKIM.

Apa yang disasarkan ialah mesej Rahmatan Lil Alamin yang merupakan inti ajaran Islam ini sampai kepada masyarakat melangkaui batas agama, kaum dan politik.

Ia bertepatan dengan sokongan Yang Dipertuan Agong dan ikrar Perdana Menteri. Tanpa menyatakan di mana kesilapan atau kesalahan konsep itu, JAKIM tidak boleh membuat pembetulan.

 

*Ali Muda ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *