Home » Langit Terbuka » Dong Zong akhirnya setuju Jawi bukan agenda Islamisasi

Dong Zong akhirnya setuju Jawi bukan agenda Islamisasi

Dong Zong mendakwa, masyarakat umum khususnya kaum Cina di negara ini dilihat menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolalah adalah disebabkan ‘fear factor’. - Foto hiasan World of Buzz.com .

PUTRAJAYA- Akhirnya Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bersetuju pelajaran tulisan Jawi di sekolah bukan bermotifkan Islamisasi kepada mana-mana pelajar bukan Islam.

Ia adalah sebahagian daripada warisan budaya bangsa Malaysia seperti kaligrafi Cina, tulisan Tamil dan etnik-etnik lain.

Justeru, setiap warisan itu termasuk Jawi perlu dihormati oleh semua pihak.

Ini dinyatakannya dalam satu kenyataan bersama Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong); Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong); Merdeka University Bhd.; Persekutuan Persatuan-Persatuan Alumni Sekolah China Malaysia; LLG Cultural Development Centre; The Federation of Alumni Association of Taiwan Universities, Malaysia; The Association of Graduates From Universities and Collages of China Malaysia; Majlis Bahasa Cina Malaysia; Education Welfare Research Foundation; Global Organization of People of Indian Origin; Child Information Learning Development Centre dan Jabatan Perdana Menteri selepas mengadakan pertemuan selama sejam setengah bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada 15 Januari.

Dalam kenyataan yang dibacakan Mujahid itu, kesemua pihak juga bersetuju dengan empat perkara asas yang lain termasuk Dong Jia Zong tidak pernah menentang pembelajaran Jawi sebaliknya hanya menentang kaedah pelaksanaannya yang mana perkara tersebut memerlukan perbincangan konstruktif oleh semua pihak.

“Perlu diingatkan ini bukan kenyataan saya seorang. Ini adalah kenyataan kami bersama hasil kesepakatan yang telah dicapai selepas mengadakan pertemuan selama sejam setengah.

“Memandangkan kepada peningkatan budaya yang merosakkan ini, adalah wajar inisiatif meredakan ketegangan dilakukan demi memelihara kepentingan Perpaduan Nasional supaya kekal utuh dan kukuh.

“Menyedari betapa pentingnya mesej kedamaian dan keharmonian disampaikan pada saat kritikal ini, perbincangan kami dengan wakil pelbagai pertubuhan telah bersetuju atas beberapa perkara fundamental dalam memahami isu-isu perkauman yang membimbangkan majoriti rakyat hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil daripada 12 persatuan terbabit di sini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ng Chai Heng berkata, ada kalangan ibu bapa memberitahu mereka bimbang pembelajaran Jawi akan membawa pengaruh Islamisasi kepada anak-anak mereka.

Katanya, masyarakat umum khususnya kaum Cina di negara ini dilihat menolak pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah disebabkan ‘fear factor’ . – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *