Home » Citra Yadim » KORY 2.0 memasyarakatkan YADIM dengan penduduk Besut

KORY 2.0 memasyarakatkan YADIM dengan penduduk Besut

JABI – Merapatkan hubungan antara agensi agama Islam dan masyarakat dilihat penting sebagai salah satu cara penyebaran dakwah yang berkesan. Ia juga perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan objektifnya tercapai.

Bagi mencapai tujuan tersebut pada 11 Januari lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu telah mengadakan program Komuniti Rahmah Bersama YADIM (KORY) 2.0 di sekitar daerah Besut.

Program ini diadakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Besut, Pejabat Penerangan Besut Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Jabi.

Program dimulakan di sebelah pagi dengan program Tahsin Ibadah: Pengurusan Jenazah di Masjid Kampung Jabi di sini. Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JHEAT, Mohamad Deraman telah dijemput sebagai penceramah.

Para peserta telah diberikan penerangan secara teori oleh Mohamad sebelum praktikal pengurusan jenazah dilakukan.

Selepas makan tengahari, program diteruskan dengan pemeriksaan kesihatan yang dilakukan di masjid Kampung Jabi.

Pada masa yang sama, dilaksanakan pula program ziarah rahmah ke rumah rumah penduduk Kampung Jabi yang terpilih.

Sebanyak 10 buah rumah telah dikunjungai YADIM Terengganu bagi menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Turiut dikunjungi ialah Pondok Madrasah Ta’alim Wattarbiah. Mereka yang dikunjungi menerima sumbangan barangan keperluan dapur untuk kegunaan mereka.

Selain menerima sumbangan, turut diadakan ialah pemeriksaan kesihatan kepada penduduk oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Besut yang turut serta dalam ziarah ini.

Selepas ziarah rahmah, diadakan pula klinik bacaan Al Fatihah dan program cabutan bertuah.

Pada sebelah malam pula, diadakan majlis pelancaran pasukan SAR untuk daerah Besut, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dan DUN Hulu Besut yang disempurnakan oleh Pengarah YADIM Terengganu, Mahadi Awang.

Secara keseluruhan, seramai 400 orang peserta terlibat dengan program KORY 2.0 ini, yang dilihat mencapai objektifnya untuk mendekatkan YADIM kepada masyarakat.

YADIM Terengganu mempunyai perancangan untuk mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini bagi memasyarakatkan YADIM dengan pelbagai lapisan komuniti.

KORY 1.0 sebelum ini diadakan di Jerteh sempena sambutan Maulidur Rasul pada November 2019.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *