Home » Langit Terbuka » Dr M ingatkan rakyat jaga sensitiviti kaum menerusi video Hari Merdeka

Dr M ingatkan rakyat jaga sensitiviti kaum menerusi video Hari Merdeka

 

PETALING JAYA – Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, sebuah rakaman video yang dimuat naik memperlihatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersiar-siar secara berseorangan di sebuah taman dan kemudiannya disapa sekumpulan remaja.

Dalam rakaman berkenaan, Mahathir dilihat secara santai memberikan pandangannya dalam isu membabitkan hari kemerdekaan, menjawab soalan diajukan remaja terbabit

“Bila kita merdeka, kita boleh tentukan nasib kita sendiri. Kita yang mentadbir, kita yang berusaha untuk memajukan negara kita,” kata Mahathir.

Menurutnya, terdapat pelbagai perbezaan yang berlaku dalam negara selepas negara mencapai kemerdekaan dan beliau mengimbau kenangannya sewaktu sambutan hari kemerdekaan pada 1957.

“Dahulu kita dijajah, sekarang ini kita rasa bebas. Pada merdeka yang pertama, kita rayakan di seluruh negara,” katanya.

Mahathir berkata, selepas merdeka, rakyat sudah tentunya boleh memilih kerajaan sendiri, berbeza jika dibandingkan sewaktu negara dijajah.

“Kita boleh pilih kerajaan kita. Itu amat berbeza di zaman penjajah yang mana kita tidak ada suara sama sekali dalam pemerintahan negara.

“Semuanya ditentukan penjajah dan mereka berusaha untuk kepentingan mereka, bukan untuk kepentingan kita,” katanya.

Ketika ditanya, apakah cabaran yang paling susah dilaluinya sewaktu menjawab tugas sebagai perdana menteri, Mahathir memaklumkan beliau perlu berhati-hati khususnya apabila melibatkan kaum.

“Paling susah ialah kerana negara kita ini berbilang kaum, kita perlu berhati-hati apabila kita memperkatakan sesuatu. Kita kena jaga sensitiviti kaum tertentu.

“Kita perlu berjaga-jaga supaya apa yang kita buat, dan apa yang kita katakan tidak menyebabkan perasaan rasis timbul,” katanya.

Mahathir berkata, walaupun negara ketika ini sudah melalui zaman pasca kemerdekaan, namun masih terdapat segelintir rakyat yang masih terpengaruh dengan maklumat salah.

“Sifat sebagai orang Malaysia masih ada. Namun pengaruh asing itu, memang ada,” katanya.

Bukan itu sahaja, pemimpin berusia 94 tahun itu turut menasihati anak muda, khususnya remaja supaya sentiasa mengambil tahu mengenai keadaan di dalam negara.

“Jadi remaja mestilah sedar dan tahu tentang keadaan dalam negara. Sedar bahawa negara kita ini berbilang kaum dan perlu untuk kita rapatkan hubungan antara kaum dan tidak sengaja menimbulkan kemarahan mana-mana kaum,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *