Pelantikan dua hakim terbabit iaitu Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah manakala istiadat pe­nerimaan pelantikan disempurnakan baginda di Istana Bukit Kayangan di sini yang turut disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.

Pelantikan kedua-dua mereka yang merupakan anak jati Banting, Selangor dibuat selaras de­ngan Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mohd. Naim dalam satu ke­nya­taan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor Darul Ehsan (Jakess) hari ini melahirkan rasa syukur beliau atas perkenan Sultan Sela­ngor berhubung pelantikan dua wanita pertama di negara ini untuk menggalas tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor.

“Ini membuktikan keprihatinan baginda terhadap isu-isu Mahkamah Syariah khususnya peranan yang boleh dimainkan oleh golongan wanita dalam me­laksanakan proses keadilan yang berkesan di Selangor.

“Walau bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pelantikan hakim-hakim wanita ini bukan melibatkan isu gender, sebaliknya atas ke­­upayaan para pe­gawai itu sendiri yang mempunyai kebolehan dan kelayakan me­nyandang jawatan Hakim Syarie,” katanya.

Sementara itu, Nenney Shuhaidah ketika ditemui selepas istiadat pengurniaan watikah pelantikan menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Sultan Selangor serta kerajaan negeri yang memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Pelantikan ini merupakan satu dorongan yang baik yang merupakan penghormatan kepada kaum wanita.

“Kami akan cuba sedaya upa­ya menggalas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan adil,” katanya.

Bagi Noor Huda pula, pelantikannya sekali gus mengenepikan persepsi gender yang wujud pada pemikiran masyarakat mengenai kebolehan dan kemampuan golongan wanita dalam semua bidang dan disiplin ilmu serta pekerjaan termasuk soal kehakiman dan perundangan.

“Kelayakan untuk menjadi Ha­kim Syarie adalah berdasarkan keupayaan seseorang itu menguasai ilmu serta pengalaman yang diperolehi masing-masing,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, bidang tugas mereka hanya melibatkan proses keadilan bagi kes-kes kesalahan ta’zir dan bukannya melibatkan kesalahan hudud dan qisas.

Selain pelantikan Noor Huda dan Nenney Shuhaidah, Sultan Selangor turut berkenan me­nyam­paikan watikah pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah; Pendaftar Mah­kamah Tinggi Syariah Sela­ngor (dua orang); Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Sela­ngor (empat orang) dan 11 orang imam masjid di Selangor. UTUSAN