SKUAD Sukarelawan Al-Falah (SAF) YADIM-Kolej Poly-tech Mara Kota Bharu telah melaksanakan program ziarah prihatin pada bulan Ramadan ini bagi mendekati masyarakat kurang berkemampuan yang menghadapi masalah kesihatan di sekitar negeri Kelantan.
Melalui program itu ahli-ahli SAF berkenaan yang merupakan pelajar-pelajar jurusan kejururawatan telah memberikan pemeriksaan kesihatan percuma serta turut memberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada para pesakit berkenaan.
Pada hari pertama program iaitu pada 25 Jun, para sukarelawan telah mengunjungi 12 pesakit di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbongan dan Parlimen Pasir Puteh.
Dalam kunjungan itu, para sukarelawan telah meluangkan masa memberikan rawatan kepada pesakit serta memberikan khidmat nasihat kesihatan dan pemakanan kepada mereka.
Sementara itu, pada hari berikutnya, para sukarelawan meneruskan misi berkenaan dengan berkunjung ke beberapa buah kampung di Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.
Seramai 30 keluarga telah dikunjungi dalam ziarah itu dan mereka turut diberikan sumbangan berupa makanan asas seperti beras, minyak, gula, teh, bihun dan lain-lain.
Hasil lawatan itu, didapati majoriti keluarga berkenaan yang terdiri daripada golongan miskin menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok dan rata-ratanya berpunca daripada tidak menjaga pemakanan.
Penubuhan Sukarelawan Al-Falah YADIM-KPTM ini telah ditubuhkan hasil kerjasama di antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Kolej Poly-tech Mara Kota Bharu dengan tujuan membawa pendekatan baru dalam dakwah melalui khidmat sosial di samping menunjukkan kecaknaan kepada yang kurang bernasib baik terutama pesakit kronik.
Pasukan ini juga ingin membawa imej keprihatinan dan cakna institusi dakwah serta institusi pengajian tinggi kepada pesakit yang kurang upaya dalam masyarakat setempat serta membawa pesakit dekat dengan agama Islam.
Selain itu, pasukan ini juga mahu memupuk sikap prihatin dan sukarelawan di kalangan pelajar dan mahasiswa kepada masyarakat yang kurang bernasib baik serta membentuk pasukan jururawat muslim mesra ibadah.
KOMEN