Home » Langit Terbuka » Dunia membantah

Dunia membantah

Bimbang berlaku kekejaman, konvoi pindah orang awam diserang

ALEPPO 15 Dis. – Masyarakat Islam dunia membantah kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Syria apabila konvoi bagi memindahkan orang awam dan tentera pemberontak cedera masih diserang meskipun gencatan senjata telah dicapai.

Pemimpin Qatar, Sheikh Ta­mim Hamad Al-Thani merupakan antara yang terawal menyatakan rasa simpati mengumumkan pembatalan sambutan Hari Kebangsaan negara itu pada minggu hadapan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Syria di wilayah bergolak itu.

“Kami turut merasai ke­sengsaraan penduduk Aleppo yang kini berdepan penyeksaan dan pembunuhan beramai-ramai,” lapor Agensi Be­rita Qatar.

Dalam perkembangan lain, lampu-lampu di Menara Eiffel di Paris turut dimatikan pada pukul 8 malam waktu tempatan bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan ter­hadap orang awam di wilayah itu.

Beberapa penunjuk perasaan turut berkumpul berhampiran menara tersebut dengan memakai pakaian berwarna merah yang melambangkan pertumpahan darah di bandar kedua Syria itu.

Sementara itu, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berarak di luar Kedutaan Rusia di bandar Kuwait, mengutuk sokongan Moscow kepada tentera Syria.

“Hari ini, rakyat Syria yang berperang dengan Rusia. Mayat orang awam bergelimpangan di jalan-jalan raya di Aleppo.

“Kami menyeru kepada Turki dan negara-negara Teluk untuk mengusir duta Rusia dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Moscow,” tegas Ahli Parlimen Kuwait, Jamaan al-Harbash kepada orang ramai yang menyertai bantahan tersebut.

Kuwait juga telah meminta Liga Arab supaya mengadakan mesyuarat tergempar Isnin ini untuk membincangkan tentang Aleppo.

Stesen Televisyen Orient TV milik kumpulan pembangkang melaporkan, konvoi pertama membawa penduduk yang ce­dera terpaksa berpatah balik selepas ditembak kumpulan pro-kerajaan ketika menghampiri kawasan Ramousah.

“Konvoi itu ditembak oleh tentera rejim, menyebabkan tiga orang cedera termasuk seorang anggota pertahanan awam. Mereka kemudian terpaksa dibawa pulang ke kawasan yang telah dikepung,” ketua perkhid­matan ambulans di daerah tersebut, Ahmed Sweid.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu semalam mengesahkan bahawa Turki, Rusia dan Iran akan mengadakan mesyuarat di Moscow pada 27 Disember ini untuk mencari jalan penyelesaian kepada konflik selama hampir lima tahun di Syria.

“Kami sedang berusaha untuk melaksanakan genca­tan senjata di seluruh negara dan mengadakan rundingan untuk memulakan jalan penyelesaian politik,” katanya kepada stesen televisyen TGRT Haber sambil berjanji bahawa Ankara akan meneruskan usaha menyelamatkan penduduk Syria dalam masa terdekat. – AFP/REUTERS

– https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *