Sunday, 29 May, 2022
Laman Utama Langit Terbuka Empat jemaah Malaysia disahkan meninggal dunia

Empat jemaah Malaysia disahkan meninggal dunia

0
578

PETALING JAYA 13 Sept. – Empat daripada lapan jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, Mekah kelmarin, disahkan meninggal dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jemaah tersebut ialah Rusiah Suar, 56, yang berasal dari Sungkai, Perak; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; Munah Jusoh, 74, Cherang Ruku, Kelantan dan Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, Tanah Merah, Kelantan.

Sementara itu katanya, seorang jemaah haji yang sebelum ini turut dilaporkan hilang iaitu Abdul Muluk Ishak, 71, dari Pantai Remis, Perak disahkan ditemui dalam keadaan selamat di kediaman jemaah haji Thailand.

- advertisement -

Menurutnya, pengecaman jena­zah dibuat berdasarkan foto yang dipamerkan oleh pihak hospital, rekod, pas dan pengenalan diri pada gelang tangan.

“Pada pukul 10.30 pagi waktu Arab Saudi atau 3 petang waktu Malaysia, pasukan perubatan Tabung Haji telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah dan telah mengenal pasti jenazah Rusiah,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya dekat sini malam ini.

Menurutnya, bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan Malaysia dan Tabung Haji, beliau mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarham.

“Kami semua amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, Tabung Haji berharap waris-waris lain akan terus bersabar dan berdoa kerana Tabung Haji akan terus berusaha sedaya upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa lain di hospital-hospital berdekatan serta memastikan segala proses pengecaman di­selesaikan secepat mungkin.

Jamil Khir juga meminta para jemaah bertenang dan bersabar untuk menghadapi hari wukuf tidak lama lagi.

“Kita juga berharap jemaah dapat memakai pengenalan diri seperti gelang tangan dan nombor untuk dihubungi,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, beliau dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan berlepas ke Arab Saudi esok untuk menguruskan urusan berkaitan ekoran tragedi tersebut.

Mengenai 10 mangsa yang ce­dera dalam kejadian itu, Jamil Khir berkata, lima orang telah dibenarkan pulang ke maktab masing-masing dan bakinya masih menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Ekoran perkembangan baharu itu, tiga lagi jemaah yang masih gagal dikesan ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah) dan Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor).

Sumber daripada www.utusan.com.my