Home » Citra Yadim » Media sosial: Agensi agama perlu bersepadu

Media sosial: Agensi agama perlu bersepadu

KUALA LUMPUR 14 Sept. _ Pegawai-pegawai agensi agama terutama yang terlibat mengendali laman sosial agensi masing-masing perlu bekerja secara bersepadu bagi mengekang begitu banyak maklumat yang tidak benar di alam maya sekarang.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata,  agensi-agensi agama tidak boleh lagi bergerak sendirian dalam menangani isu-isu di media sosial sebaliknya perlu mewujudkan rangkaian sesama sendiri di alam maya.

“Sememangnya dalam komunikasi di alam maya ini, perkara terpenting yang perlu ada adalah  wujudnya satu rangkaian yang mantap kerana ia mampu menyebarkan maklumat berkenaan dengan lebih berkesan dan meluas,’’ katanya dalam Majlis Diskusi mengenai media sosial di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai perhubungan awam dan pegawai-pegawai media sosial agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dr. Asyraf Wajdi berkata, pada waktu ini adalah penting bagi setiap pegawai agensi agama menangani isu-isu di media sosial dengan berhemah dan berkesan kerana hal demikian akan memberikan kesan dari segi imej kerajaan dan Islam.

“Saya amat berharap setiap agensi dapat menangani isu-isu yang timbul itu dengan berkesan dan cepat. Adalah malang sekiranya ada agensi yang gagal memberikan maklum balas atau tersilap dalam memberikan maklum balas sehingga menjejaskan imej kerajaan,’’ katanya.

Beliau menegaskan, setiap agensi perlu memahami prinsip-prinsip dalam menguruskan persepsi dan sentimen dengan betul agar sesuatu isu itu tidak menyebabkan ketegangan dan salah faham kepada masyarakat.

Katanya, dalam era siber ini, sesuatu perkara yang baik itu kadangkala boleh menjadi sesuatu yang buruk hanya kerana disebarkan dengan sedemikian rupa oleh media sosial.

Dalam majlis hari ini, pelbagai saranan telah diberikan oleh pegawai-pegawai yang hadir termasuk mewujudkan rangkaian lebih besar seperti melibatkan pegawai di peringkat negeri-negeri serta blogger yang mempunyai pengaruh.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *