Home » Langit Terbuka » EU lantik Marion Lalisse tangani isu Islamofobia

EU lantik Marion Lalisse tangani isu Islamofobia

EU menegaskan setiap negara anggota kesatuan itu tidak menyokong sebarang tindakan atau mana-mana badan yang sengaja mencetus provokasi terhadap umat Islam bukan sahaja di benua ini, malah di seluruh dunia. - Foto europeanconservative.com

PETALING JAYA: Kesatuan Eropah (EU) komited menangani isu islamophobia dalam kalangan negara-negara anggota selain menegaskan tidak pernah memandang ringan isu tersebut.

Bagi menjayakan komitmen itu, EU melantik wakil dari benua berkenaan, Marion Lalisse untuk melihat, mengkaji dan mencadangkan usaha-usaha yang boleh dilakukan dalam menangani masalah berkenaan.

Perkara itu ditegaskan Duta Delegasi EU ke Malaysia, Michalis Rokas kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini Selasa lalu.

Malah, Rokas juga mahu Malaysia terus yakin dengan segala usaha blok negara itu dalam menangani ancaman Islamofobia yang masih membelenggu dunia.

LANTIK PENYELARAS BAHARU

“Suruhanjaya Eropah melantik Marion Lalisse sebagai penyelaras baharu untuk memerangi kebencian anti-Islam.

“Lalisse akan bekerjasama dengan negara anggota, institusi Eropah, masyarakat sivil dan ahli akademik untuk mengukuhkan tindak balas dasar dalam menangani sentimen kebencian dan anti-Islam yang wujud di benua ini.

“Dalam peranan baharunya, Lalisse akan menjadi titik hubungan utama bagi organisasi lain yang turut terlibat dalam membanteras isu ini di EU,” jelasnya.

Tegas Rokas, setiap negara anggota kesatuan itu tidak menyokong sebarang tindakan atau mana-mana badan yang sengaja mencetus provokasi terhadap umat Islam bukan sahaja di benua ini, malah di seluruh dunia.

EU SENTIASA BERSATU

“Negara-negara anggota EU sentiasa bersatu dan sebulat suara dalam pelbagai hal dan kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama Islam.

” Kami tidak akan berkompromi mahupun menyokong tindakan sedemikian. Malah kami turut mengadakan perbincangan bersama dan  mewujudkan usaha bagi membendung masalah islamophobia yang masih menular di benua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan ahli politik pelampau warga Denmark- Sweden, Rasmus Paludan yang bertindak membakar al-Quran di Stockholm pada 21 Januari lalu.

Sebelum ini, media melaporkan, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang termasuk sejumlah besar wartawan.

Selepas mengecam hampir sejam yang mana dia menyerang Islam dan imigresen di Sweden, Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api.

Lebih mengecewakan, akhbar The Washington Post melaporkan, ahli politik itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu.

TIDAK BERAT SEBELAH

Selain itu, beliau menegaskan, EU tidak berat sebelah dalam mengendalikan masalah pelarian dan migran dari negara-negara Islam yang mendapatkan perlindungan di negara-negara benua Eropah.

” Untuk pengetahuan, setiap pelarian atau pencari suaka yang memasuki Eropah diberi layanan baik dan turut disediakan tempat perlindungan yang selesa. Kami malah mempunyai data yang menunjukkan negara-negara EU tidak pernah menghantar pulang pelarian-pelarian ini.

” Berdasarkan rekod perbelanjaan, EU juga sebenarnya merupakan penyumbang terbesar bantuan kemanusiaan di Palestin dan turut mengambil berat tentang penderitaan umat Islam yang ditindas di negara itu,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *