Home » Langit Terbuka » MAINJ arah masjid dijadikan PPS selepas mangsa banjir terpaksa tidur dalam kereta

MAINJ arah masjid dijadikan PPS selepas mangsa banjir terpaksa tidur dalam kereta

MOHD. FARED MOHD. KHALID (empat dari kiri) melawat Dewan Orang Ramai Sri Medan dan Sekolah Agama Sri Medan yang dijadikan sebagai PPS bagi menyampaikan bantuan daripada MAINJ kepada mangsa banjir. - Foto Utusan Malaysia

YONG PENG: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengarahkan semua masjid utama dalam kawasan terjejas banjir dibuka sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) selepas mendapati ada mangsa terpaksa tidur dalam kenderaan malam tadi ekoran kesesakan di penempatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pembukaan masjid utama sebagai PPS dibuat dengan garis panduan bagi terus menjaga kemuliaannya.

Katanya, langkah itu juga adalah pelan kecemasan yang diambil bagi menampung pertambahan jumlah penduduk yang ramai terkesan akibat banjir.

“MAINJ membantu kerajaan negeri apabila kita melihat keperluan PPS ditambah sebab ada beberapa kawasan PPS sedia ada tidak mampu menampung.

“Saya mengaku, ada sebahagian penduduk yang terpaksa bermalam dalam kereta malam tadi. Bukan salah sesiapa tetapi air naik dengan cepat, mereka berpindah segera dan kebetulan PPS tidak dapat menampung.

“Untuk maksud itu MAINJ membantu kerajaan negeri dengan membuka masjid utama di kawasan terbabit sebagai PPS,” katanya ketika ditemui di SJKC Yong Peng 1, bersama lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, setakat ini tujuh masjid utama sudah dibuka iaitu empat masjid di Parit Sulong dan tiga masjid Parit Yaani dekat Batu Pahat.

Antaranya, Masjid Pekan Sri Medan, Masjid Parit Jayus, Masjid Parit Baru dan Masjid Simpang Tiga di Parit Sulong.

“Manakala di Parit Yaani membabitkan Masjid Kampung Parit Betong, Masjid Kampung Parit Jambi dan Masjid Parit Endin 3.

“Masjid juga dibenarkan untuk membantu urusan penyediaan makanan bagi diedar dan diagihkan ke PPS berdekatan.

“Berikutan keadaan cuaca dan hujan yang berterusan ini, kita jangkakan akan lebih banyak masjid menjadi PPS,” katanya.

Sumber – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *