Home » Persuasif » Faham tabayyun tetapi sukar hayati!

Faham tabayyun tetapi sukar hayati!

sumber

Kehidupan dunia hari ini ternyata semakin berubah dan mencabar. Kaedah kita menangani sesuatu pengkhabaran yang diterima juga sudah jauh berbeza berbanding dengan zaman datuk nenek kita dahulu. Kalau dahulu, kita sering diingatkan supaya menyelidik terlebih dahulu sebelum bertindak melulu mempercayai sesuatu perkara.

Tapi kini, budaya menyampai cerita semacam telah menjadi ‘nature’ kehidupan orang kita. Ia seolah-olah menjadi satu perbuatan ‘wajib buat’ dalam masyarakat. Hairannya, perbuatan tersebut langsung tidak didokong oleh perasaan bersalah atau berdosa. Ia sudah menjadi kelaziman sehingga sudah hilang rasa berdosa dalam diri. Ia telah menjadi dosa yang menjadi darah daging dan langsung tidak disedari. Malah disertai pula dengan perasaan bangga dan berlumba-lumba mahu menjadi orang pertama yang menyebarkannya kepada khalayak.

Orang dahulu-dahulu menyampaikan maklumat dari mulut ke mulut iaitu dengan berjumpa dan bertentang mata sama ada pergi dari satu ke satu rumah, bertembung di tepi-tepi jalan atau di kedai-kedai kopi.

Berbeza dengan orang sekarang, penyampaian maklumat sangat pantas dengan menggunakan aplikasi whatsapp, twitter, facebook, instagram, blog, flickr dan mana-mana saluran ruang sembang yang boleh diakses di hujung jari dan di mana-mana sahaja. Tidak menghairankanlah apabila cerita yang baharu sahaja berlaku tidak sampai lima minit dengan mudah tersebar.

Ingat kisah si gadis bernombor pendaftaran CDM 1 yang hangat diperkatakan suatu ketika dahulu? Kita tidak menolak yang gadis itu telah bertindak kasar terhadap seorang lelaki tua kerana didakwa merosakkan keretanya tetapi kenapa mesti peristiwa itu dirakam dan diviralkan? Persepsi awal pasti kita beranggapan yang tindakan gadis itu adalah sangat tidak wajar dan sewenang-wenangnya kita menjatuhkan hukum ke atasnya. Namun, jika mengambil pendekatan menyelidik dahulu kesahihan cerita dengan meneliti kenyataan daripada kedua-dua belah pihak, pasti hukuman yang dikenakan adalah wajar.

Oleh sebab itu, Islam telah menggariskan satu prinsip yang dinamakan tabayyun dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini. Tabayyun merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidik terlebih dahulu sesuatu berita dan tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan sebelum kesahihan berita tersebut dipastikan secara konkrit.

Oleh sebab itu Allah SWT telah mengingatkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat 49: 6)

Penurunan ayat ini (asbabun nuzul), adalah rentetan daripada kisah Al-Walid bin Uqbah bin Abi Muith yang diutus oleh Rasulullah SAW kepada Bani Al-Musthaliq untuk menuntut harta sedekah. Di sana, beliau melihat penduduk kampung keluar beramai-ramai untuk menunaikan sedekah tetapi menyangka mereka sudah murtad. Lalu, dia menyampaikan berita itu kepada Baginda Nabi SAW. Ekoran daripada itu, baginda mengarahkan bala tentera yang diketuai oleh Khalid Al-Walid menyerang kampung Bani Mustaliq. Walau bagaimanapun, Khalid Al-Walid terlebih dahulu menghantar perisik bagi menyiasat status sebenar. Mereka akhirnya mendapati berita yang disampaikan adalah tidak benar apabila suara azan dikumandangkan dan penduduk kampung menunaikan solat. Lalu Khalid al-Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 ini sebagai teguran dan panduan kepada orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

Kepentingan tabayyun adalah bagi mengelak timbulnya fitnah yang akhirnya akan menimbulkan perpecahan dan perbalahan di kalangan ummah. Perpecahan ini sewajarnya dielak kerana Islam adalah agama yang menyuburkan keharmonian. Walaupun, kita sedar dalam dunia akhir zaman kini, umat Islam tidak lagi dilihat sebagai umat yang bersatu kerana terlalu banyak isu yang diperdebatkan tanpa pengakhiran. Oleh sebab itu, kita tidak mahu kerosakan yang sedikit akan terus merebak sehingga membawa kepada kehancuran.

Ia juga merupakan kaedah untuk mendidik umat Islam sentiasa mendahulukan penyelidikan terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu kesimpulan. Mahu atau tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa umat Islam lebih suka menerima sesuatu tanpa usul periksa. Inilah kelemahan yang amat ketara dan membimbangkan dalam menghadapi dunia yang serba mencabar ini.

Penekanan terhadap prinsip tabayyun telah banyak dibicarakan oleh ulama dan para cendekiawan. Perbincangan dan penulisan telah banyak diketengahkan mengenai konsep tabayyun. Umat Islam seharusnya memahami konsep tersebut secara mendalam agar umat Islam tidak menjadi pencetus kepada berita-berita yang hanya mendatangkan mudarat kepada ummah.

Terdapat beberapa panduan yang boleh kita ikuti sebelum berniat untuk berkongsi mana-mana yang kita perolehi. Orang kata, fikir dahulu sebelum bertindak. Elok kalau kita dapat bermonolog tentang beberapa perkara:

  1. Adakah berita ini benar? Adakah saya sudah pasti dengannya?
  2. Adakah berita ini fakta atau hanya persepsi?
  3. Kalau berita ini adalah fakta, perlukah untuk disebar?
  4. Adakah akan ada mana-mana individu yang sensitif dengan berita tersebut?
  5. Adakah berita ini akan memberi kebaikan atau hanya akan menimbulkan kekeruhan?

Kadang-kadang kita belum pasti tentang sesuatu tetapi atas desakan tidak sabar mahu segera memberitahu kepada orang lain, kita tanpa ragu-ragu menekan butang klik ‘’share’ atau sebarkannya melalui blog peribadi.

Sewajarnya setelah kita benar-benar mendapat jawapan yang jelas iaitu dapat menjawab pertanyaan di atas dengan yakin, baharulah kita boleh menjadikan informasi tersebut sebagai informasi bermanfaat kepada orang lain. Sebagai seorang muslim, kita telah diajar untuk menyelidik dan meneliti terlebih dahulu kesahihan sesuatu perkara kerana apa yang disebarkan juga tertanggung di atas pundak tanggungjawab kita.

Namun, sekiranya melibatkan kes-kes serius seperti penculikan, kemalangan, kehilangan individu dan sebagainya, kita sewajarnya mengambil tindakan drastik dan pantas. Hal ini berkait pula dengan konsep mengambil berat dengan persekitaran.

Sesungguhnya dunia tanpa sempadan ini memang tidak mampu dibendung lagi. Ia adalah lambang kemajuan tetapi cara untuk mengawalnya adalah sememangnya datang daripada nilai yang wujud dalam diri kita iaitu, nawaitu mahu menjaga kebaikan agama Islam dan memelihara keaiban orang lain. Justeru, kongsikanlah sahaja maklumat yang jelas memberi input bemanfaat kepada orang lain bukan mahu menjatuhkan atau mengaibkan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Editor

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *