Home » Langit Terbuka » Fahami terjemahan, jauhi telefon pintar antara petua hafal Al-Quran

Fahami terjemahan, jauhi telefon pintar antara petua hafal Al-Quran

Tan Mike Foong yang juga seorang Orang Kurang Upaya penglihatan, tidak menjadikan kecacatannya itu sebagai penghalang untuk beliau bergelar Huffaz suatu hari nanti. - Foto Sinar Harian

HULU SELANGOR – Bagi seorang mualaf yang berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran, antara tip mudah beliau menghafal surah ialah memahami terjemahan kitab suci itu agar menjadikannya bahan menyeronokkan untuk dibaca.

Lebih menarik, Tan Mike Foong, 23, yang juga seorang Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, tidak menjadikan kecacatannya itu sebagai penghalang untuk beliau bergelar Huffaz suatu hari nanti.

“Selain memahami terjemahan al-Quran, saya juga cuba mengurangkan penggunaan gajet dan media sosial, kerana bagi saya smartphone dan laptop, adalah ‘syaitan’ paling besar yang sering menggoda manusia sehingga lalai.

“Dalam proses hafaz al-Quran, tiada jalan pintas, kita memang kena tekan diri kita sebanyak mungkin untuk fokus, lumrah menghafaz secara berulang juga akan menjadikan kita bosan, jadi saya memahami terjemahannya supaya ia menyeronokkan,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvoskesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) kali ke-28 di sini hari ini (27 Julai).

Tan merupakan pelajar mualaf yang berjaya menamatkan Sijil Asas Tahfiz selama setahun dan kali pertama memperoleh Anugerah Khas dan menerima skrol Program Asas Tahfiz.

Beliau yang kini melanjutkan pelajaran ke Program Diploma Tahfiz al-Quran, ditemani ibunya, Ang Bee Cheng, 48, yang bukan beragama Islam pada majlis istiadat itu.

Tan yang mempelajari al-Quran menggunakan kaedah braille berkata beliau mahu memberi fokus dalam bidang tafsir serta hadis dan mahu melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi dalam tahfiz al-Quran.

Bekas pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak, Kuala Lumpur, itu berkata beliau mula memeluk Islam pada 2015 tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Tan tertarik dengan agama Islam apabila sering terdengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari masjid di belakang sekolahnya setiap kali masuk waktu solat. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *