Fasiliti untuk wukuf di Arafah bertambah baik

0
691
Fuziah bersama sebahagian jemaah Haji Malaysia tahun uni. - Foto Bernama

MAKKAH – Fasiliti untuk jemaah haji Malaysia berwukuf di Arafah tahun ini seperti khemah dilihat bertambah baik berbanding tahun lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, hasil tinjauan dan maklumbalas hari ini tahap keselesaan jemaah haji Malaysia dilihat semakin baik, justeru beliau berterima kasih kepada semua pihak terlibat yang menyediakan fasiliti itu terutama Lembaga Tabung Haji (TH).

“Tabung Haji (TH) buat yang terbaik untuk mereka (jemaah haji) dalam kapasiti ruang yang ada (di Arafah) rais (pengurusan) maktab beri kerjasama yang amat baik.

- advertisement -

“Kita lihat juga penyaman udara banyak disediakan untuk jemaah haji selain pokok-pokok sudah besar dan rendang membolehkan jemaah haji keluar untuk berehat serta beribadat di luar khemah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini (10 Ogos).

Terdahulu beliau mengadakan lawatan bagi meninjau jemaah haji Malaysia dan fasiliti disediakan di Arafah. Yang turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji.

Fuziah berkata, jemaah haji Malaysia dilihat cukup bersedia untuk berwukuf dan beliau memohon semua rakyat Malaysia mendoakan jemaah haji Malaysia mendapat haji yang mabrur.

Sementara itu, beliau berkata 80 jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan TH Syisyiah di sini akan dibawa ke Arafah untuk berwukuf melalui program ‘Safari Wukuf’.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 43 jemaah haji adalah lelaki dan 37 adalah wanita, dan jemaah itu akan dibawa dengan menggunakan ambulans serta bas perubatan untuk berwukuf. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here