Home » Langit Terbuka » Fatah lancar intifada lindungi Al-Aqsa

Fatah lancar intifada lindungi Al-Aqsa

Tentangan terhadap Zionis tidak akan berhenti sehingga Israel hentikan penjajahan

BAITULMAQDIS 23 Julai – Pihak berkuasa Fatah me­lancarkan intifada atau kebangkitan terbaharu rakyat Palestin bagi meningkatkan usaha berterusan melindungi Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada penyokong­nya, pergerakan yang diketuai Pre­siden, Mahmoud Abbas itu menegaskan, kempen di Baitulmaqdis telah bermula dengan berkesan dan tidak akan berhenti sehingga kawasan suci bagi umat Islam tersebut dibebaskan daripada penjajahan Israel.

Portal berita The Times of Israel melaporkan, pergerakan Fatah turut melancarkan kempen besar-besaran menghalang rancangan Israel me­ngawal Masjid Al-Aqsa selain mengisytiharkan tiga hari berkabung serta mogok umum untuk menghormati penunjuk perasaan yang maut ketika menyertai bantahan di masjid berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu, dua remaja lelaki Palestin maut ketika pertempuran dengan tentera Israel, menjadikan angka korban meningkat kepada tujuh orang dalam tempoh dua hari.

Israel dilaporkan telah menambah bilangan anggota tentera di Tebing Barat dan mengadakan serbuan ke atas rumah penyerang yang dikaitkan dengan keganasan berhubung langkah keselamatan di Masjid Al-Aqsa.

Pihak berkuasa Israel juga telah memasang kamera keselamatan baharu di pintu pagar kawasan sekitar masjid dan Kabinet Israel memulakan sesi untuk membincangkan langkah keselamatan alternatif yang boleh digunakan bagi menggantikan pengesan logam di kawasan masjid.

Semalam pasukan polis menyuraikan penduduk Palestin yang membaling batu ke arah pasukan keselamatan Israel di Baitulmaqdis ketika kebimbangan antarabangsa memuncak ekoran keganasan yang berterusan.

Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataan bersama menyatakan kebimbangan dengan peningkatan ketegangan dan pertempuran di Baitulmaqdis selain menggesa kedua-dua pihak bertenang.

Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan keadaan itu.

Sementara itu menurut portal berita Mail Online, Penasihat Diplomatik Mahmoud Abbas, Majdi Khaldi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Jordan, Arab Saudi, Mesir, Maghribi serta beberapa negara Islam lain bagi menyelesaikan ketegangan di Baitulmaqdis.

Beberapa portal berita melaporkan mengenai serangan roket yang dilancarkan dari utara Tebing Barat awal pagi ini.

Namun pasukan pertahanan Israel (IDF) mendakwa roket itu meletup di udara dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tentera Israel mengumumkan telah menahan 29 orang termasuk enam anggota pergerakan Hamas hari ini.

Terdahulu di Kaherah, Mesir, pemimpin-pe­mimpin Liga Arab menegaskan Israel seakan ‘bermain dengan api’ apabila men­cetuskan ketegangan di Baitulmaqdis.

“Mereka (Zionis) mempertaruhkan risiko besar dengan dunia Arab dan Islam,” jelas liga itu dalam satu kenyataan hari ini.- www.utusan.com.my

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *