Home » Citra Yadim » Fokus kepada pengkaderan

Fokus kepada pengkaderan

Wilayahku
Nik Omar ketika diwawancara Pengarang Wilayahku, Helmi Mohd Foad di pejabatnya hari ini

PUTRAJAYA – Penyediaan kader kader dan daie dalam bidang dakwah kini merupakan fokus utama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Yang Dipertuanya, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, penyediaan kader dan daie itu nanti akan berpandukan modul yang bakal dibina mengikut gagasan Rahmatan Lil Alamin.

“Ia antara fokus utama pengurusan dakwah, maksudnya ia berkait rapat antara dakwah dengan daie, bila sebut daie, ia merupakan individu yang akan membawa gagasan Rahmatan Lil Alamin nanti.

‘Kita berusaha dalam tempoh terdekat selepas selesai menstruktur semula YADIM, untuk menyediakan kader kader ini, mereka inilah yang akan berdakwah, menerangkan kepada masyarakat baik Islam atau pun yang bukan Islam tentang kerangka Islam yang sebenar,” katanya.

Nik Omar berkata demikian semasa di wawancara oleh akhbar Wilayahku di pejabatnya di sini hari ini (25 Januari 2019). Wilayahku merupakan sebuah akhbar yang diterbitkan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memberi maklumat dan hebahan berguna kepada warga Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Nik Omar berkata, kader kader itu akan dibentuk supaya berkaliber dan berilmu agar menjadi contoh dalam kehidupan. Selain pengkaderan, Nik Omar menjelaskan, YADIM juga akan memberi tumpuan kepada bahagian penyelidikan.

Tambah beliau, kader kader YADIM itu akan disediakan menerusi kakitangan sedia ada dan jaringan sukarelawan yang dimiliki badan dakwah ini.

“Kita memiliki unit unit seperti Felow Muda Dakwah, petugas daie, manakala di universiti ada Sahabat YADIM.

“Untuk pelajar universiti, semasa belajar dan selepas mereka tamat pengajian, kita buka peluang kepada yang berminat untuk sertai program YADIM, mereka inilah yang akan dilatih dan diberi kursus untuk menjai pendakwah, “ jelas beliau.

Wilayahku
Nik Omar menjawab soalan semasa wawancara

Sementara itu, mengulas mengenai peranan sebagai penyelaras badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini, Nik Omar berkata, YADIM berhasrat untuk menjadikan badan dakwah ini lebih mesra dan rapat dengan mereka.

“Kita mahu supaya semua organisaasi merasa rapat dan selesa dengan YADIM. Mereka boleh jadikan YADIM ini tempat untuk mereka bertemu dan meluahkan pandangan, untuk jana idea idea baru berkaitan politik, pendidikan, perpaduan ummah dan sebagainya.

“Ini InsyaAllah termasuk dalam gerak kerja kita di bawah struktur baru YADIM nanti, ia hasrat untuk jadikan badan dakwah ini tempat untuk mereka bertemu, baik individu atau organisasi. Kita tahu cabaran utama sekarang ialah perpecahan dan perbalahan, mengenai tadbir urus, pendidikan, politik, ekonomi, ibadat, banyak lagi, masing masing ada hujah.

“Jadi kita di YADIM nak cuba sedaya upaya, bagaimana kita mahu urus perbalahan dan pertelagahan pandangan ini,” ujar beliau.

Katanya lagi, NGO NGO Islam  di ngara ini mempunyai kekuatan yang tersendiri, dan untuk memanfaatkannya, kelebihan itu perlu diselaraskan.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *