Home » Langit Terbuka » Fokus Siap Siaga Maritim Pertahan Kedaulatan Negara – Mat Sabu

Fokus Siap Siaga Maritim Pertahan Kedaulatan Negara – Mat Sabu

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia akan tetap menekankan dan pertahankan konsep dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dibawa bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan akan memfokuskan kesiapsiagaan maritim dengan memperkasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi menjaga kedaulatan tanah air.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata perkara itu antara isu yang dibincangkan ketika beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Mohamad berkata, peranan TLDM begitu penting dalam suasana sekarang dan akan datang berikutan Malaysia mempunyai perairan maritim yang luas antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“(TLDM) mesti diperhebat dan diperkuatkan kerana dahulu hasil negara hanya di darat tetapi sekarang hasil negara berada di laut seperti pelantar minyak di Laut China Selatan.

“Laut China Selatan menjadi pertarungan kuasa besar. Jadi Malaysia hendaklah mainkan peranan dan berada dalam siap siaga, bukan untuk perang tetapi demi kedaulatan tanah air kita,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Malaysia akan tetap menekankan dan pertahankan konsep dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dibawa bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

“Kita tidak mahu konflik yang berlaku di Asia Barat, iaitu antara kuasa besar dibawa ke sini. Jadi konsep ZOPFAN akan terus ditekankan untuk Malaysia menjadi negara berkecuali,” katanya.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan memberi nasihat dari aspek peralatan tentera laut.

Katanya, baginda bertitah segala peralatan itu perlu dipertahankan dan berada dalam kesiapsiagaan setiap masa.

“Pembelian peralatan juga harus sesuai dengan kehendak angkatan laut yang sama dengan dunia antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas melawat kapal KD Mahawangsa sambil berlayar di sekitar perairan Selangor, di sini hari ini, Mohamad berkata kehadiran kapal perang negara asing di perairan Laut China Selatan ‘tidak baik’ untuk keamanan rantau Asia Tenggara kerana dikhuatiri mampu menimbulkan konflik ketenteraan.

Beliau berkata mana-mana pihak sepatutnya menghormati negara-negara di perairan itu termasuk Malaysia, yang selama ini mengamalkan pendirian berkecuali.

“Semasa menghadiri Dialog Shangri-La (edisi ke-17 di Singapura baru-baru ini) yang dihadiri menteri pertahanan pelbagai negara, saya membangkitkan dan menegaskan bahawa Malaysia terus berjuang untuk menjadi sebuah negara berkecuali sejak zaman perdana menteri kedua lagi.

“Malaysia ada kepentingan ekonomi yang besar di perairan negara dalam Laut China Selatan iaitu perikanan dan minyak. Disebabkan itu, kita mahu laut tersebut aman sampai bila-bila,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Kesempurnaan cinta kemanisan iman

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: :عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Siapakah Ibnu Batutah?

Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya,

Sang Pengiring Muhammad SAW

Abu ‘Abd Allah Zubair ibn al-Awwam adalah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang “mubasyirin bil-jannah” (sepuluh sahabat yang dijamin masuk

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *