Home » Langit Terbuka » Forum pemimpin perikatan Israel lulus RUU hukum mati tahanan Palestin

Forum pemimpin perikatan Israel lulus RUU hukum mati tahanan Palestin

TEL AVIV 18 Dis. – Pemimpin politik Israel semalam bersetuju untuk mengemukakan draf rang undang-undang ke Parlimen yang membolehkan pelaksa­naan hukuman mati ke atas pengganas, rancangan yang di­percayai disasarkan ke atas tahanan Palestin.

Walaupun kenyataan yang dibuat oleh parti Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, Parti Yisrael Beitenu tentang rang undang-undang itu tidak jelas, ia dipercayai selari dengan ikrar terdahulu Lieberman yang mahu melaksanakan hukuman lebih keras ke atas tahanan Palestin.

“Hari ini rang undang-undang hukuman mati ke atas pengganas akhirnya diluluskan oleh forum pemimpin perikatan,” kata kenyataan itu yang merujuk ketua daripada enam parti politik yang membentuk kerajaan campuran Israel.

Kata kenyataan itu lagi, undang-undang itu agak mudah dan jelas iaitu seorang pengganas yang membunuh orang awam tidak bersalah akan dihukum mati.

Kenyataan itu memetik Lie­ber­man sebagai berkata, jika dikuatkuasakan menjadi undang-undang, rang undang-undang terbabit akan menjadi penghalang yang kuat dan mengimbangi harapan tahanan Palestin iaitu selepas dipenjarakan, mereka boleh dibebaskan dalam satu perjanjian politik atau pertukaran tahanan.

Dalam perjanjian terbaharu, Israel pada 2011 membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin sebagai pertukaran kepada seorang tentera rejim, Gilad Shalit yang ditahan di Gaza selama lima tahun.

“Kita tidak boleh membenarkan pengganas tahu bahawa selepas pembunuhan yang mereka lakukan, mereka akan diduduk di penjara sebelum dibebaskan pada masa hadapan,” kata Lieberman.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan bila rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen.

Dalam perkembangan berkai­tan, tentera Israel hari ini membedil pusat latihan pergerakan Hamas di Gaza sebagai tindak balas kepada serangan roket yang terlebih dahulu dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun kedua-dua pi­hak tidak melaporkan sebarang kehilangan nyawa dalam sera­ngan itu yang berlaku menjelang lawatan Naib Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence ke Baitulmaqdis pada 6 Disember ini, peningkatan serangan sejak Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Pada masa sama, demon­tsrasi membantah pengiktirafan Trump itu diadakan di seluruh Turki semalam yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berhimpun dalam acara yang dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan negara berkenaan.

Menurut portal Daily Sabah, tunjuk perasaan itu diadakan di Ankara, Kocaelo, Diyarbarkir, Hatay dan beberapa bandar lain.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selain itu mengulangi pendiriannya bahawa Ankara akan membuka kedutaan di Bai­tulmuqaddis Timur, menyo­kong bandar berkenaan sebagai ibu negara Palestin.

Sementara itu, sebanyak 12 duta negara Arab di India meminta New Delhi menyatakan pendiriannya dalam isu pengiktirafan Trump ke atas Baitulmuqaddis selepas negara terbabit menyatakan mereka tidak menyebelahi mana-mana pihak.

India pernah menjuarai isu Palestin sebelum secara senyap-senyap menjalinkan hubungan dengan Israel dan kerjasama antara kedua-dua pihak sema­kin ketara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi. – AGENSI, UTUSAN MALAYSIA

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *