Home » Langit Terbuka » Gandingan ulama dan pemimpin punca kekuatan Islam: Mufti

Gandingan ulama dan pemimpin punca kekuatan Islam: Mufti

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria

IPOH: Kekuatan ulama yang digandingkan dengan iman dan umara (pemimpin) serta disatukan dengan amal adalah gandingan yang menjadi kekuatan umat Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, berkata justeru persaudaraan umat Islam hari ini perlu diperkukuhkan dan dijalinkan melalui kekuatan ulama dan pemimpin kerana aspek itu tidak boleh dipisahkan.

“Semangat persaudaraan Islam pada hari ini masih tetap ada seperti api yang tak kunjung padam, namun ia tidak mudah untuk disemarakkan sekiranya ulama-umara masih bertelagah.

“Maka hadirnya muzakarah ini adalah untuk menggariskan pentingnya umat Islam mencari jawapan yang benar-benar mampu mengatasi masalah kemunduran umat Islam dan mencari jalan terbaik bagi kebangkitan semula peradaban Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Aman Jaya di sini hari ini.

Perasmian muzakarah berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pagi tadi.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Harussani berkata, muzakarah mengenai kepemimpinan atau kekhalifahan sudah sering diadakan, namun isu berkaitannya belum pernah selesai atau mungkin ia secara halus tidak mahu diselesaikan.

“Namun, apabila gandingan ulama-umara tidak lagi bertaut bahkan sudah pecah tanpa menunggu retak, ketika itulah ummah seolah hilang ibu dan ayah.

“Bak ayam berlaga sekandang, ayam ditambat disambar helang, padi di tangan tumbuh lalang, tamadun Islam jatuh satu persatu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah berkenaan berkata, untuk itu umat Islam pada hari ini perlu menzahirkan iman dengan pembinaan tamadun yang sejahtera yang mampu melahirkan umat yang jiwanya tenang dan mementingkan ukhrawi.

Harussani turut menzahirkan jutaan terima kasih kepada Sultan Nazrin yang memperkenankan penganjuran muzakarah pada setiap tahun dan penghargaan kepada Zambry yang berjaya mengangkat penganjuran muzakarah berkenaan hingga ke peringkat nusantara. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *