Home » Langit Terbuka » Usia tidak halang sertai tilawah al-Quran

Usia tidak halang sertai tilawah al-Quran

Zainab Daud

KOTA BHARU 26 Feb. – Biarpun sudah berusia 73 tahun, peserta tertua Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran 2018 peringkat negeri Kelantan, Zainab Daud, masih bersemangat untuk mengambil bahagian.

Warga emas yang berasal dari Pasir Mas ini tidak membiarkan umurnya menjadi penghalang malah keadaan fizikalnya yang buta sebelah mata juga dianggap bukan suatu kekurangan baginya.

Zainab berkata, membaca al-Quran baginya adalah ibarat ‘makanan harian’ yang diperlukan setiap hari.

“Saya buta mata kiri sejak lahir jadi saya sudah biasa berkeadaan begini serta tiada masalah untuk belajar al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.

“Sehingga kini saya masih lagi menjadi guru al-Quran kepada kira-kira 20 kanak-kanak yang datang mengaji di rumah,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Majlis Menghafaz dan Tilawah al-Quran peringkat negeri Kelantan 2018 di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini malam tadi.

Majlis hafazan dan tilawah yang akan berlangsung sehingga 1 Mac itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Seramai 22 qari dan qariah mengambil bahagian dalam kategori tilawah manakala kategori hafazan yang dibahagikan kepada tiga tahap pula disertai 30 peserta.

Turut bertanding adalah johan menunggu tilawah iaitu qari, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 20, dan qariah, Munirah Kassim, 51. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *