Home » Langit Terbuka » Gaza umpama penjara terbuka

Gaza umpama penjara terbuka

Gaza musnah akibat serangan rejim Zionis. (Gambar hiasan) FOTO : foreignpolicymag.files

SHAH ALAM 15 Jan. – “Gaza kini umpama sebuah penjara terbuka di mana rakyatnya seolah-olah seperti banduan.” Itulah luahan seorang gadis yang berasal dari Palestin, Alaa Ahed Abushababan,29, ketika diminta mengulas mengenai situasi terkini yang berlaku di negara bergolak tersebut.

Bercerita mengenai pengalamannya, Alaa berkata rakyat Palestin kini tidak dibenarkan untuk meninggalkan Gaza bagi mendapatkan pendidikan, rawatan perubatan dan keperluan lain berikutan daripada laluan keluar di kawasan sempadan telah dikuasai oleh tentera Israel.

“Malah saya sendiri terpaksa berhempas-pulas dan turut berdepan kesulitan untuk pulang ke universiti yang terletak di United Kingdom berikutan tidak dapat melepasi kawasan sempadan yang sentiasa dikawal ketat sehingga dua kali terpaksa menangguhkan pembelajaran,” katanya ketika kunjungan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan ke Kumpulan Media Karangkraf,semalam.

Mengulas lanjut mengenai kawalan di pintu sempadan, Alaa memaklumkan bahawa Gaza mempunyai tujuh laluan masuk namun enam daripadanya telah dikawal oleh tentera Israel.

Ujar gadis berkenaan, penduduk di Gaza hanya boleh menggunakan laluan di sempadan pintu Rafah yang kini dikawal oleh kerajaan Mesir untuk keluar bagi mendapatkan rawatan perubatan dan sebagainya.

“Pintu sempadan di Rafah itu merupakan harapan terakhir penduduk di Gaza namun malangnya, ia hanya dibuka oleh kerajaan Mesir sebanyak tiga atau dua kali pada setiap bulan.

“Bila ada pengumuman yang pintu sempadan akan dibuka, penduduk Gaza pastinya tidak sempat untuk membuat persiapan dan ini adalah merupakan cabaran besar buat penduduk di sana,” katanya.

Rakyat berdepan krisis gaji

Selain itu, Alaa yang juga merupakan sukarelawan bagi Azaytoon Association for Relief and Development memaklumkan bahawa penduduk di Gaza juga turut berdepan dengan krisis gaji di mana para pekerja yang berkhidmat buat kerajaan tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak berkenaan.

Oleh sebab itu, Alaa berkata perkembangan tersebut telah menyebabkan berlakunya krisis sehingga ada di kalangan penduduk Gaza melancarkan mogok sebagai tanda protes.

“Krisis ini turut membabitkan hospital di mana tiada doktor yang berkhidmat bagi memberikan rawatan kepada pesakit dan ini mengundang kesengsaraan buat penduduk di sana memandangkan pusat perubatan sudah tidak berfungsi lagi.

“Malah kakitangan pembersihan hospital juga turut mogok ekoran tidak mendapat gaji,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Juruselam sebagai ibu negara Israel, Alaa berkata perkembangan itu telah menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk Palestin yang menganggapnya sebagai tempat suci bagi orang Islam.

Alaa berkata, pengumuman oleh Trump tersebut merupakan satu serangan bukan sahaja kepada penduduk Palestin malah juga buat seluruh umat Islam di dunia ini.

“Kami sebagai rakyat Palestin percaya bahawa perkara ini bukannya merupakan isu politik atau melibatkan konflik dengan Israel semata-mata namun ia membabitkan akidah dan kepercayaan terhadap agam Islam.

“Kami cuba sebaik mungkin untuk mempertahankan tanah ini di samping memenuhi tuntutan jihad bagi pihak umat Islam lain namun rakyat Palestin mempunyai sumber yang sangat terhad untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, Alaa berkata pihaknya amat berbesar hati dengan usaha ditunjukkan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia yang sentiasa memainkan peranan bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk di Palestin.

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai banyak parti politik, namun setiap pihak dilihat memainkan peranan dalam menyalurkan bantuan sekiranya ia membabitkan isu rakyat Palestin.

“Ini adalah satu usaha yang saya sendiri amat hargai kerana jika membabitkan Palestin, kerajaan dan parti politik di negara ini pastinya akan bersatu-padu bagi menyalurkan bantuan.

“Malaysia sudah memainkan peranan dalam membantu kami sejak bertahun-tahun lalu bersama dengan kerajaan Turki, Indonesia, Afrika Selatan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai NGO yang disertainya, Alaa berkata, Azaytoon Association for Relief and Development memainkan peranan bagi mencari penyelesaian terhadap krisis yang melanda Gaza sejak bertahun lalu lagi dalam usaha untuk membantu golongan miskin.

Tambahnya, pihaknya juga telah menganjurkan pelbagai program sebelum ini dan antara fokus utamanya adalah bagi membantu anak-anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu-bapa.

“Apa yang penting adalah kami berusaha untuk membina semula Gaza dengan memulihkan semula hospital dan penempatan penduduk miskin yang memerlukan.

“Malah kami turut usahakan program air kerana sumber bekalan di sini sudah tercemar dan ini memang merupakan sesuatu yang agak mencabar,” katanya.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *