Home » Langit Terbuka » Tudung: Kementerian diminta bertindak

Tudung: Kementerian diminta bertindak

Datuk Mohamed Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Semua kementerian yang terlibat secara langsung dalam isu lara­ngan bertudung terhadap pekerja barisan hadapan hotel digesa mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan perkara itu dengan segera.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, hal ini berikutan isu berkenaan sudah mendapat perhatian semua pihak dan hanya Persatuan Hotel Malaysia (MAH) seolah-olah bersikap tenggelam-timbul seperti tidak berminat untuk menangani isu itu.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian diminta tidak mempedulikan sikap ‘sambil lewa’ MAH dengan meneruskan usaha mereka dalam membela nasib pekerja yang terkesan akibat polisi tersebut.

“Sebagai contoh, pihak kementerian lain patut mencontohi usaha Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertindak tegas untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen hotel yang mengamalkan polisi itu.

“Kalau MAH tidak mahu be­kerjasama tidak mengapa, kita sudah ada sokongan kuat daripada Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kita lihat sejauh mana MAH boleh ‘lari’ daripada masalah ini kerana kita akan mula bertindak dari sekarang.

“Jangan ingat UNI-MLC man-main, kami akan pastikan 13 hotel yang terlibat mengamalkan polisi ini akan dikenakan tindakan segera,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, sekiranya isu larangan bertudung masih berlanjutan, UNI-MLC tidak teragak-agak mengadakan satu perhimpunan besar-besaran bagi mengembalikan semula hak pekerja wanita Islam yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Penolong Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya menyeru MAH dan 13 pengurusan hotel yang terlibat melarang pekerjanya bertudung untuk menyemak semula intipati yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Segala cubaan untuk memberi tafsiran atau untuk mengelirukan serta mengubahnya wajib ditentang,” katanya.

Menurutnya, jika mereka tidak boleh terima Perlembagaan, setidak-tidaknya belajar untuk memahami terlebih dahulu.

“Isu larangan bertudung itu telah terbukti bercanggah dengan Perlembagaan, jadi tidak perlu menunggu peruntukan baharu di bawah Akta Kerja 1955 kerana sudah terang lagi bersuluh tindakan mereka sudah bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *