Home » Langit Terbuka » Geran RM100 Juta Untuk Negeri Pakatan Harapan

Geran RM100 Juta Untuk Negeri Pakatan Harapan

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, bantuan berkenaan akan memberi manfaat kepada 10,000 kampung di negeri PH daripada 16,481 kampung di seluruh negara.

PUTRAJAYA – Pemberian geran sehingga RM100 juta untuk membiayai program-program kesejahteraan dan keceriaan kampung hanya akan diberikan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun berkata, bantuan berkenaan akan memberi manfaat kepada 10,000 kampung di negeri PH daripada 16,481 kampung di seluruh negara.

“Buat masa sekarang ia tertakluk kepada kampung-kampung yang kita ada di bawah PH dan mekanisme itu akan dikaji semula untuk negeri-negeri yang bukan di bawah kerajaan PH.

“Kita nak geran ini perlu dimohon supaya pengurusan jawatankuasa kampung-kampung bergerak aktif untuk memajukan kampung. Ia perlu kita fokuskan kepada penjanaan ekonomi kampung.

“Untuk negeri-negeri bukan di bawah Pakatan Harapan kita kena kaji dulu sebab kita ada lebih 16,000 kampung di seluruh negara. Kita akan kaji dalam tempoh sebulan,” katanya pada sidang media pertamanya di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata hanya lima negeri sahaja tidak disalurkan geran RM100 juta itu kerana pentadbiran pada masa ini terletak di bawah Barisan Nasional (BN).

“Buat masa sekarang negeri yang tidak terlibat adalah Kelantan, Perlis, Terengganu, Pahang dan Sarawak,” katanya.

Rina selaku Ahli Parlimen Titiwangsa juga mengumumkan penjenamaan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkuat kuasa serta-merta.

“Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju agar institusi ini diteruskan dengan nama baharu.

“Manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di bawah kerajaan pusat sebelum ini dimansuhkan sejak 31 Mei lalu,” katanya.

Bagaimanapun katanya kuasa dan urusan pelantikan, pertukaran dan penamatan jawatankuasa itu akan dikekalkan di peringkat Kerajaan Negeri PH dan pentadbiran di bawahnya.

“Ini adalah kuasa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan hanya memantau dan menyalurkan elaun dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, penjenamaan semula JKKK itu turut memberi kesan kepada kadar elaun yang bakal diterima pengurusan jawatankuasa itu sebelum ini.

“Jemaah Menteri telah bersetuju agar kadar elaun kepada anggota MPKK ditetapkan sebanyak RM500 kepada pengerusinya berbanding RM900 sebulan sebelum ini, setiausaha-RM300 sebulan; pengurusan mesyuarat-RM100 dan RM50 untuk kehadiran mesyuarat,” katanya.

Katanya lagi, bagi tujuan itu juga rombakan keanggotaan jawatankuasa itu turut dilakukan dengan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita dalam MPKK.

“Ia bertujuan agar wanita turut menyumbang kepada idea, tenaga dan kemahiran dalam pembangunan kampung,” katanya lagi. – MALAYSIAGAZETTE

Artikel Berkaitan

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *