Home » Langit Terbuka » Golongan muda paling ramai muflis di Terengganu

Golongan muda paling ramai muflis di Terengganu

KUALA TERENGGANU 12 April – Sebanyak 2,169 kes muf­lis direkodkan di negeri ini sepanjang lima tahun lalu dengan peratusan tertinggi membabitkan kegagalan melunaskan hutang sewa beli ken­deraan.
Ketua Cawangan Jabatan Insolvensi Terengganu, Roslan Ngah berkata, kebanyakan mereka yang berdepan dengan perma­salahan itu berusia dalam lingkungan 25 dan 44 tahun.
Beliau menjelaskan, sejak 2013 hingga tahun lalu, statistik me­nunjukkan seramai 599 individu mewakili kumpulan umur antara 35 dan 44 tahun diisytiharkan bankrap.
“Hal ini terjadi disebabkan ba­nyak faktor antaranya mahu bertukar kenderaan yang lebih selesa untuk keluarga di samping krisis kewangan seperti perbelanjaan isi rumah yang makin bertambah atau kehilangan pekerjaan dan pendapatan tidak tetap.
“Di samping itu, mereka yang baharu memulakan kehidupan berkeluarga dan memerlukan kenderaan. Syarat yang agak longgar bagi pinjaman ini memudahkan pemilikan walaupun mungkin di luar kemampuan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Roslan, secara kese­luruhan, sebanyak 2,169 kes muf­lis direkodkan jabatan itu sepanjang 2012 hingga 2016 dengan jumlah tertinggi dicatatkan tahun lalu adalah 535 kes manakala pada 2015 pula membabitkan 386 kes, 407 kes (2014), 451 kes (2013) dan 390 kes (2012).
Katanya, jumlah kes di negeri ini dijangka terus meningkat tahun ini susulan kesan kegawatan ekonomi negara yang menyebabkan ketidakmampuan untuk membayar hutang lanjutan daripada penutupan perniagaan dan pemberhentian kerja.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, jabatan itu sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana individu yang ingin keluar daripada belenggu muflis termasuk menghulurkan kerjasama dalam menentukan pembayaran balik kesemua hutang.
“Kebelakangan ini ramai yang telah hadir bagi mendapatkan bantuan untuk keluar daripada belenggu kebankrapan, namun, masih terdapat segelintir yang enggan memberi kerjasama,’’ ujarnya.
“Ini menyebabkan pentadbiran kebankrapan tidak dapat diteruskan dan peluang untuk dilepaskan daripada kebankrapan agak sukar untuk dilaksanakan,” katanya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *