Guna van jenazah agih bantuan

0
307
Barangan keperluan harian dimasukkan ke dalam van jenazah untuk diagihkan kepada mangsa banjir - Foto Harian Metro

Ipoh – Van jenazah digunakan jawatankuasa Masjid Al-Ijtimaa’iah Taman Sri Kurau, Bercham, di sini, bagi menyalurkan bantuan sarapan pagi kepada penduduk Taman Desa Impian, Bercham yang terjejas akibat banjir kilat malam tadi.

Sarapan berupa nasi lemak itu diagihkan pagi ini iaitu selepas paras air surut sepenuhnya.

Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Halim Mat Sohor berkata inisiatif itu dibuat secara spontan (ad hoc) hasil perbincangan bersama 14 ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu bagi membantu penduduk di situ yang rata-ratanya adalah ahli kariah masjid terbabit.

- advertisement -

Beliau berkata, bantuan kepada mangsa tanpa mengira latar agama bertujuan meringankan beban penduduk yang dilihat mungkin tidak sempat menyediakan sarapan pagi akibat semalaman sibuk menguruskan rumah yang digenangi air.

“Cara ini yang paling cepat difikirkan sesama kami AJK masjid bagi membantu mangsa banjir di sini yang mana kami sedia maklum bahawa taman perumahan ini kerap dilanda banjir.

“Kami rasa bertanggungjawab untuk membantu mereka sebaik mungkin. Bahkan wang untuk membeli nasi lemak untuk diagihkan pun bersumberkan hasil kutipan sesama AJK masjid tanpa ‘sentuh’ tabung masjid,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, inisiatif itu secara tidak langsung mendekatkan lagi hubungan antara mangsa terjejas banjir dengan pengurusan masjid selain menyampaikan mesej untuk kembali kepada tuhan susulan musibah banjir yang melanda.

“Diharapkan inisiatif ini dapat mendekatkan masyarakat dengan masjid, dalam masa sama sentiasa kembali mencari reda Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa mangsa banjir di perumahan itu mengakui banjir kilat yang melanda semalam adalah yang terburuk sejak belasan tahun mendiami kawasan itu.

Mustaffa Mohd Noh, 57, yang juga pesara tentera, berkata biarpun banjir kali ini memusnahkan sebahagian perabot rumahnya, namun bersyukur kerana semua 10 kucing yang dipelihara dalam kandang di depan rumah selamat.

Katanya, rata-rata penduduk sudah trauma susulan banjir yang melanda pada tahun 2017 justeru mengambil langkah berjaga-berjaga dengan membina tembok penghadang air konkrit di setiap pintu rumah selain pembinaan kandang kucing lebih tinggi yang dibinanya.

“Ini banjir terburuk sejak saya duduki perumahan di sini pada 2006. Paling buruk sebelum ini adalah pada 2017 yang mana ketika itu lima kucing saya mati kerana kandang yang dibina agak rendah,” katanya.

Bagi Bashah Awang Kechik, 64, beliau turut mengakui banjir ini merupakan yang terburuk sejak mendiami perumahan terbabit pada 2004 apabila benteng konkrit penghadang air yang dibina di depan pintu rumah tidak mampu menghalang kemasukan air ke rumah.

“Hujan lebat dari jam 5 petang hingga 9 malam tadi menyebabkan air naik laju dalam tempoh hanya sejam sehingga paras dada. Kira-kira jam 1 pagi baru air mulai surut.

“Kami lihat masalah banjir di sini berpunca daripada masalah perparitan apabila air melimpah kerana longkang kecil sedangkan perumahan kami di kawasan rendah, membuatkan air daripada kawasan tinggi mengalir turun ke sini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di Ipoh malam tadi namun PPS berkenaan sudah ditutup sepenuhnya jam 1.53 pagi.

PPS dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sing membabitkan pemindahan penduduk di Pekeliling Ampang Baru dan Jalan Ampang Baru 2.

Malam tadi, media melaporkan beberapa lokasi di bandar raya Ipoh dilanda banjir kilat, selepas hujan lebat berterusan bermula lewat petang semalam. – Harian Metro