Home » Langit Terbuka » Hafizah al-Quran cemerlang ACCA, raih tempat kedua di dunia

Hafizah al-Quran cemerlang ACCA, raih tempat kedua di dunia

Safwa yang juga pelajar Tajaan Yayasan Terengganu berkata, dia sendiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu walaupun baru mempelajari bidang perakaunan dalam tempoh enam bulan. - Foto UiTM

BESUT: Seorang hafizah al-Quran meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dengan meraih tempat kedua peringkat dunia.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Safwa Zamri, 19, menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize bagi kertas ‘FA1-Rekod Transaksi Kewangan’ dengan mendapat keputusan cemerlang markah 98 peratus sekali gus berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi sesi Mac lalu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut itu berkata, keputusannya untuk menukar bidang dari sains tulen serta agama dengan melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan dibuat berdasarkan minat mendalam terhadap subjek matematik.

“Sebelum ini saya adalah pelajar sains tulen serta agama dengan mendapat 12A ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika di tingkatan dua.

“Namun ketika mahu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya saya memilih bidang perakaunan berbanding bidang lain kerana minat serta kecenderungan saya pada subjek matematik.

“Jika diikutkan dalam keluarga hanya saya seorang memilih bidang perakaunan berbanding adik-beradik yang memilih bidang perubatan serta kejuruteraan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila, di sini, semalam.

Safwa yang juga pelajar Tajaan Yayasan Terengganu berkata, dia sendiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu walaupun baru mempelajari bidang perakaunan dalam tempoh enam bulan.

“Ketika mula belajar tentang akaun saya akui sedikit buntu namun tidak berputus asa untuk kerap membuat ulangkaji serta latihan hingga akhirnya timbul minat terhadap bidang akaun,” katanya yang juga anak bongsu dari lima beradik.

Ayahnya, guru Zamri Mohd Amin, 56 berkata, sejak sekolah rendah Safwa sering berusaha menjadi pelajar cemerlang dan kejayaan itu diteruskan sehingga kini.

Ibunya, Rashidah Ab Rahman, 57 berkata, Safwa sanggup berjaga malam seorang diri untuk mengulangkaji pelajaran kerana mahu memastikan dia boleh menguasai setiap subjek dengan cemerlang. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *