Home » Langit Terbuka » Hamas puji ketegasan Malaysia larang kapal Israel berlabuh

Hamas puji ketegasan Malaysia larang kapal Israel berlabuh

Osama Hamdan

KUALA LUMPUR – Ketegasan Malaysia melarang kapal laut Israel berlabuh di negara ini dipuji Hamas.

Wakil kanan Hamas, Osama Hamdan menzahirkan penghargaan susulan pendirian kukuh kerajaan Malaysia dalam menyokong rakyat Palestin dalam konflik yang bermula sejak 7 Oktober lepas.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghalang kapal dengan bendera Israel berlabuh di pelabuhan mereka dan tidak membenarkan mana-mana kapal yang menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Kami menyeru negara Arab dan Islam lain untuk mengamalkan pendirian sama menyokong rakyat kami di Gaza, yang mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan mereka, menghormati perintah antarabangsa,” katanya pada sidang media di Beirut, lapor Berita Harian.

Hamdan turut menggesa kesatuan sekerja global untuk menolak sebarang urusan dengan kapal Israel,dan menuruti pendirian Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan di negara ini berkuat kuasa serta merta.

Anwar menegaskan, sekatan itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu berkuat kuasa serta merta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan yakin bahawa keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia

Kebenaran tambahan untuk membolehkan anak kapal ke darat telah diberikan pada tahun 2005.

Dalam perkembangan berkaitan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan, tindakan yang diambil kerajaan akan menjadi simbol yang bakal dicontohi masyarakat antarabangsa bahawa dunia mengecam dan menentang kezaliman dilakukan Israel terhadap Palestin.

”Kami memberi sokongan penuh ke atas keputusan Perdana Menteri dan Kabinet Malaysia Madani terhadap tindakan tegas dan berani dalam membuat keputusan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ZIM Integrated Shipping Services dari berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia,” kata setiausaha AMK Omar Mokhtar A Manap.

”Keputusan Kerajaan Perpaduan sekali gus membatalkan ketetapan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002 yang membenarkan syarikat ini berlabuh di Malaysia, namun semalam beliau mempertahankan keputusan tersebut kononnya kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

”Ia tidak lebih daripada sekadar alasan Tun Mahathir yang juga merupakan Penasihat SG4 (Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis) untuk mempertahankan diri sama seperti mana sewaktu beliau membenarkan pasukan kriket Israel menyertai pertandingan di Kuala Lumpur pada Mac 1997 kononnya atas semangat kesukanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *