Home » Langit Terbuka » Haram berjihad tanpa arahan pemerintah

Haram berjihad tanpa arahan pemerintah

KUALA LUMPUR 21 Julai –Masyarakat Islam di negara ini perlu diberi kefahaman menyeluruh mengenai tuntutan berjihad dan ketaatan kepada pemerintah supaya mereka tidak terpesong dengan konsep jihad sebenar mengikut ajaran Islam.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, kefahaman tuntutan berkenaan yang disebut sebagai Fiqh Jihad dan Fiqh Ulul Amri perlu diperkasakan bermula di peringkat sekolah kerana ia mempunyai kaitan antara tanggungjawab untuk taat kepada peme­rintah negara dalam soal berjihad yang tidak boleh dilakukan me­lainkan melalui arahan pemerintah sahaja.

Beliau menjelaskan, hanya pemerintah negara boleh mengisytiharkan jihad dan haram dilakukan melalui pertubuhan perseorangan atau secara sukarela.

“Ramai yang tidak memahami perkara ini dan Fiqh Ulul Amri menyatakan pemerintahan melalui khilafah iaitu satu pemerintah untuk seluruh umat Islam telah berhenti selepas pemerintahan empat khalifah Islam. Namun konsep pemerintahan khilafah yang mahu diwujudkan oleh Daesh ini telah didakyahkan oleh Yahudi bagi menunjukkan perjuangan negara Islam.

“Hadis dan ijmak ulama turut menyatakan haram berjihad melainkan di bawah naungan negara. Negara yang mengarahkan jihad. Malah dalam konteks bukan wajib atau sukarela mesti melalui kebenaran ibu bapa. Tanpa kebenaran ibu bapa adalah haram dan satu penderhakaan kepada ibu bapa dan negara sekali gus boleh membawa kepada mati dalam jahiliyah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Sidang Khas Ancaman Daesh Bertapak di Malaysia anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM)- Kumpulan Utusan di Dewan Besar Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Zahidi yang juga Felo Kehormat Kanan Universiti Islam Malaysia (UIM) berkata, kedua-dua ajaran fiqh ber­kenaan perlu diberikan penjelasan secara huraian menyeluruh termasuk mengambil panda­ngan kesepakatan ulama.

Jelasnya, ajaran berkenaan tidak boleh sekadar membaca potongan ayat al-Quran atau memetik hadis tertentu kerana dibimbangi boleh dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Puak Daesh ini mereka bermula dengan semangat membuak-buak tanpa ilmu, maka pelaksanaan mereka tidak betul sekali gus niat mereka juga tidak betul.

“Rasulullah SAW turut me­ngingatkan sesiapa yang menafsir al-Quran tanpa ilmu, sedialah tempat di neraka,” katanya.

–  https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *