Home » Langit Terbuka » Penganggur dipenjara empat bulan kerana baling al-Quran ke atas jalan raya

Penganggur dipenjara empat bulan kerana baling al-Quran ke atas jalan raya

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Tindakan seorang penganggur yang membaling al-Quran ke atas jalan raya membawa padah apabila dia dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhi hukuman tersebut ke atas L.Fabian, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan umat Islam dengan membaling senaskah al-Quran ke atas jalan raya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chemur, Dang Wangi, di sini pada pukul 5.50 petang, 18 Julai lalu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Lelaki itu turut dipenjara dua bulan atas pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri sementara kepada pegawai polis untuk pemeriksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi dan tarikh yang sama pada pukul 6.05 petang mengikut Seksyen 25 (1) (n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

Majistret Mohd Faizal memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Julai lepas.

Ketika rayuan, Fabian yang tidak diwakili peguam, memohon maaf kepada mahkamah dan memberitahu dia menyesal dengan perbuatannya.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang merupakan seorang penghantar surat telah ternampak tertuduh membaling sesuatu ke jalan raya.

Pengadu memanggil tertuduh namun tertuduh memarahi pengadu dan mahu melarikan diri sebelum ditahan orang ramai.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengambil al-Quran itu di sebuah surau sebelum dihalau oleh pengawal keselamatan.

Tertuduh bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas dimarahi pengawal keselamatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *