Home » Langit Terbuka » Hayati Gagasan Rahmah

Hayati Gagasan Rahmah

Perdana Menteri (tengah) di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H di di Kota Kinabalu. - Foto NSTP

KOTA KINABALU – Hala tuju Malaysia dalam usaha menjadi sebuah negara maju seharusnya tidak dikhuatiri sebagai punca nilai murni dan seruan Islam bakal terhakis sekiranya rakyat menghayati fahaman gagasan Rahmah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sememangnya terdapat keraguan mengenai hala tuju negara apabila adanya matlamat untuk membawa Malaysia ke arah negara maju.

“Apabila kita bertekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, kita sedar terdapat keraguan tentang hala tuju negara pada masa depan serta kerisauan hilangnya keinsafan sehingga meminggirkan nilai dan seruan Islam.

“Jelas bahawa kemajuan dan kemakmuran yang kita capai itu saling berkait. Ketika kita meraikan kepelbagaian bangsa dan agama di dalam negara, syiar Islam berkembang pesat dan menjadi pemangkin kepada kemajuan yang tercapai.

“Seiring dengan falsafah tersebut, pada 25 Oktober tahun lalu kerajaan bersetuju Gagasan Rahmah dijadikan sebagai dasar pentadbiran Islam Model Malaysia berteraskan Maqasid Syariah dan Rahmatan Lil ‘Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni bertepatan dengan suasana, adat serta budaya bangsa Malaysia sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H di di Kota Kinabalu, pada 16 Februari.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong.

Beliau berkata, fahaman gagasan terbabit mampu membawa kesan positif daripada segala aspek kepada Malaysia.

“Kita percaya dasar ini mampu memberi impak positif kepada negara dalam meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup masyarakat berbilang kaum serta agama selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan Kerajaan.

“Dalam perjuangan kita ke arah mencapai status negara maju, peranan keluarga, sekolah dan komuniti harus terus diperkukuh bagi menerap nilai-nilai murni dan memupuk budaya kebangsaan khususnya dalam kalangan generasi muda selari dengan Islam sebagai ad deen,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *