Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kaedah penyediaan adalah melalui cara dengan makanan diletakkan air panas sebelum dijamah oleh 30,200 jemaah haji Malaysia.

“Ketika jemaah berada di Mina dan Arafah, sebanyak tiga menu daripada 15 menu makanan seperti nasi beriani dan nasi arab akan disediakan menerusi kaedah ini.

Ini merupakan projek perintis kerana setiap tahun di kawasan perkhemahan jemaah, kita perlu menggunakan kayu api untuk memasak setiap sajian, tetapi menerusi cara sebegini ia dilihat lebih mudah dan dijamin kualiti serta bersih,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelepasan Kumpulan pertama jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menurut Syed Saleh merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, kaedah penyediaan makanan itu adalah projek perintis dan pihaknya terlebih dahulu akan melihat keberkesanannya dalam musim haji tahun ini.

“Kita melihat ini juga dapat memudahkan daripada segi pengawalan jumlah sajian dan tiada pembaziran kerana setiap kali akan ada makanan berlebihan apabila jemaah mempunyai makanan tersendiri.

“Sekurang-kurangnya kita dapat ketahui jumlah makanan disediakan dan tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan jemaah haji untuk menjaga kesihatan dan minum air yang banyak memandangkan suhu musim haji tahun ini dijangka mencecah 50 darjah celcius.

Menurutnya, pihak Tabung Haji menyediakan khemah di Arafah dan Mina yang dilengkapi pendingin hawa sebagai langkah persediaan dalam menghadapi keadaan tersebut.

“Selain minum air, saya nasihat mereka jangan terlalu dedah di bawah cuaca panas bagi mengelakkan berlaku strok haba dan badan mengalami kekurangan air,” katanya.

Penerbangan musim haji tahun ini bermula dengan pelepasan kumpulan pertama (KT01) yang membabitkan 483 jemaah termasuk 13 petugas media.

Mereka telah berlepas dari KLIA ke Madinah menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH8100.-Utusan Malaysia