Home » Langit Terbuka » Kumpulan pertama 480 jemaah haji Malaysia dijadual tiba hari ini

Kumpulan pertama 480 jemaah haji Malaysia dijadual tiba hari ini

Persiapan kumpulan petugas Tabung Haji di Madinah kini pada tahap 90 peratus dan, pasukan itu bersedia menyambut kedatangan kumpulan pertama jemaah haji. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama seramai 480 jemaah haji Malaysia dijadual tiba pada 4 Julai di Madinah, kata Pengarah Operasi Madinah Lembaga Tabung Haji (TH), Affandi Abdullah.

Beliau berkata persiapan kumpulan petugas TH di Madinah kini pada tahap 90 peratus dan beliau yakin, pasukan itu bersedia menyambut kedatangan kumpulan pertama jemaah haji.

“Pada tahun ini, jemaah haji Malaysia akan tiba di lapangan terbang Madinah secara berperingkat dan akan melalui proses pra-perlepasan yang telah dilaksanakan di Tanah Air.

“Kita juga berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang mengekalkan ‘Makkah Route’, bagi memastikan kelancaran urusan pergerakan Jemaah Haji Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau berkata TH telah menyediakan lima bangunan penginapan jemaah haji yang terbahagi kepada tiga pusat perkhidmatan zon yang terletak di sekitar 200 meter dari Masjid An-Nabawi.

Katanya semua aspek operasi telah bersedia memastikan jemaah pada musim haji kali ini diberi perhatian sepenuhnya agar mereka dapat menumpukan kepada ibadah tanpa ada kerisauan dan menjalaninya dengan sempurna.

“Jemaah haji dinasihatkan untuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal memandangkan sama seperti musim haji terdahulu, cuaca di Madinah juga agak panas. Justeru, TH berharap jemaah haji semua terus menjaga kesihatan sejak di Tanah Air lagi.

“Bekalan ubatan lazim hendaklah dibawa dan diambil mengikut keperluan,” katanya.– Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *