Home » Langit Terbuka » Hidupkan budaya politik wasatiy hapus pendekatan melampau

Hidupkan budaya politik wasatiy hapus pendekatan melampau

Gambar Hiasan.

POLITIK menjadi komponen sangat signifikan dalam masyarakat. Wadah politik dinamik dan progresif mampu mencetus perubahan ke arah kebaikan dan kemajuan sesebuah negara.

Dalam menuju ke arah Malaysia MADANI, seharusnya diakui banyak amalan politik lama perlu dinilai semula melihatkan perkembangan, trend dan realiti politik di negara ini.

Perbezaan politik ekstrem mahupun cenderung melabelkan pihak lain dengan pelbagai gelaran tidak harmoni hanya kerana berbeza pandangan menyuburkan budaya siasah tidak membina.

Politik sepatutnya mengajarkan kedamaian, kasih sayang dan harmoni tidak hanya sesama Muslim, tetapi antara warganegara serta sesama manusia selari dengan demografi politik Malaysia majmuk dan jamak bangsa.

Bagi menjamin negara sejahtera dan lestari serta mampu mendepani cabaran mendatang, Malaysia memerlukan budaya politik baharu.

Dalam konteks ini, penulis mengetengahkan gagasan idea pembudayaan politik wasatiy sebagai sebahagian islah dan ciri-ciri penting masyarakat Madani.

Manhaj wasatiy ini menekankan aspek pendekatan politik sederhana, seimbang dan adil serta menjadikan seseorang membuat pertimbangan tepat dalam pemikiran, ucapan, tindakan dan keputusan.

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi secara khusus meletakkan enam elemen wasatiyah iaitu keadilan, istiqamah, terbaik, keamanan, kekuatan dan kesatuan.

Islah dalam konteks pembudayaan politik wasatiy ini adalah sangat selari dengan firman Allah SWT: “Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki (al-islah) sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.” (Hud: 88)

Antara permasalahan utama budaya politik adalah bagaimana menguruskan perbezaan dan menangani kepelbagaian. Perbezaan pandangan politik perlu diuruskan secara wasatiy dan berhikmah.

Kefahaman menjadikan politik sebagai akidah akhirnya boleh membawa kepada fenomena takfiri (mengkafirkan orang lain) atas dasar perbezaan politik, sekali gus perlu diperbetulkan.

Politik itu bukan perkara akidah, tetapi dibenarkan untuk berbeza pandangan kerana ia jatuh dalam aspek ijtihadi. Politik antara perkara faraghaat (ruang vakum) atau lacuna yang membuka ruang sangat luas untuk membuat keputusan berasaskan maslahah umum dan keadaan semasa.

Menguruskan perbezaan pandangan politik bukan mudah untuk dilaksanakan. Ia memerlukan al-dhawabit atau parameter khusus jelas sebagai rujukan masyarakat.

Bagi maksud ini, Sheikh Taha Jabir al-Alwani menyediakan garis panduan menguruskan perbezaan ini menerusi karya Adab al-Iktilaf fi al-Islam yang kini boleh didapati di pasaran versi terjemahan bahasa Melayu juga boleh dimuat turun secara percuma inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Begitu juga dengan Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi dengan bukunya Adab al-Hiwar fi al-Islam menggariskan parameter etika dalam berdialog.

Hormati perbezaan, undang-undang

Kerangka adab al-ikhtilaf dan adab al-hiwar ini menawarkan pendekatan wasatiy bagi menguruskan perbezaan politik seharusnya menjadi panduan serta rujukan bukan sahaja kepada ahli politik, tetapi juga masyarakat umum.

Dalam persaingan dan perbezaan politik, kebebasan diraikan mesti berlaku dalam lingkungan tidak ghuluw (melampaui batas) dan menghormati lunas undang-undang.

Bersedia berbeza pendirian politik dan menjaga tatasusila, berbudi, sopan, hormat menghormati, tidak memperleceh, tanpa menghina dan berlapang dada bersetuju untuk tidak bersetuju adalah tuntutan politik wasatiy.

Pendekatan politik wasatiy akan memperlihatkan Islam sebagai agama rahmah, inklusif dan damai. Fahaman politik menggalakkan atau membenarkan pengikut berkelakuan ghuluw adalah jelas bertentangan ajaran Islam.

Budaya wasatiy menganjurkan politik berasaskan fakta bukan emosi, menolak elemen atau amalan politik menjejaskan perpaduan dan mencetuskan perbalahan.

Sentimen seperti menyalakan api perkauman, termasuk fenomena takfiri hanya kerana perbezaan politik menjadi amalan tidak membawa apa-apa manfaat malah merosakkan.

Politik wasatiy bukan lagi hanya perlu diterapkan pada individu, tetapi patut jadi amalan dan dibudayakan dalam masyarakat.

Manifestasi wasatiyah merentasi pembudayaan oleh individu dan institusi ini amat diperlukan bagi mewujudkan masyarakat menghayati serta mengamalkan prinsip wasatiyah.

Ini bermakna antara ciri Madani itu sendiri merujuk kepada masyarakat menjadikan pendekatan wasatiyah dalam semua perkara, termasuk aspek politik sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan.

Bahkan al-Quran menyebut secara jelas mengenai ciri ummah wasatan ini seperti firman Allah SWT: “Dan demikian pula (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) umat adil dan terpilih, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasul (Muhammad) akan menjadi saksi (perbuatan) kamu semua.” (Al-Baqarah: 143)

Selaras dengan semangat Malaysia MADANI untuk membangun tanah air lebih mampan dan sejahtera berteraskan roh daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan dengan keterangkuman dan kesaksamaan menjadi teras utamanya yakni sebuah masyarakat Malaysia adil, tiba masanya Malaysia mencipta budaya politik baharu wasatiy.

Era politik berasaskan sentimen perkauman, pendekatan ghuluw dan fitnah dan adu domba tidak lagi relevan serta perlu dikuburkan selama-lamanya.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mencorak dan menentukan amalan dan budaya politik baharu. Setiap kita berpeluang melaksanakan peranan signifikan mempengaruhi dan membentuk naratif serta budaya politik wasatiy meraikan kepelbagaian.

Budaya politik wasatiy ini mengangkat keilmuan, budi, hikmah dan akhlak menjadi paksi kepada pembinaan masyarakat Madani.

Tanpa penerapan wasatiyah, amalan dan budaya politik akan kekal di takuk lama, akhirnya boleh menggagalkan aspirasi Malaysia MADANI itu sendiri.

Penulis adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *