Home » Persuasif » Hikmah dua mata dan telinga

Hikmah dua mata dan telinga

Oleh Amiza Khusyri Yusof

Kita selalu mendengar ungkapan, ‘Allah menjadikan kita satu mulut dan dua telinga’, dan selalunya ungkapan itu mengarah pada pentingnya untuk kita lebih banyak mendengar dari berkata-kata.

Mari sebentar kita perhatikan keluhan-keluhan di bawah:

“Saya tak fahamlah mak saya ustaz. Asyik…”

“Saya tak pandai nak bercakap, nak pertahankan diri saya.”

“Mulut saya ni tak habis-habis melukakan orang lain ustaz, macam mana saya nak berkawan?”

Begitulah antara keluhan-keluhan yang muncul, langsung menyebabkan keyakinan diri menurun dan kemahuan terhadap proses pembelajaran merudum. Gangguan-gangguan tersebut akan merencatkan proses berfikir dalam masa yang sama mengakibatkan kejahilan menguasai diri dan al-Hawa (nafsu) merongrong pula untuk melakukan keburukan dan maksiat.

Asasnya, keluhan-keluhan hati yang muncul sedang mengganggu fokus dan tumpuan bukan sahaja pada aspek pembelajaran malah seluruh dimensi kehidupan. Akibatnya, kehidupan yang ingin dicorak akan dibelenggu dengan rasa tidak puas hati, kecewa, ragu-ragu, murung dan yang paling membimbangkan ialah timbul rasa berputus asa dan berhenti mencuba.

Apabila hati telah mula dipenuhi dengan gangguan kesedihan, kekecewaan, keluhan berpanjangan hingga membawa pada sikap berhenti berusaha dan berputus asa, maka perlahan-lahan keyakinan tauhid, kepatuhan syariah dan kerelaan ibadah telah mula berubah juga ke arah keingkaran. Begitulah liciknya modus dan kreatifnya strategi syaitan dalam menyesatkan manusia.

Proses Fikir

Usah sesekali memisahkan diri kita dalam proses berfikir apabila menghadapi situasi dan timbul keluhan sedemikian. Proses berfikir yang dimaksudkan ialah merenung dan menganalisis semula sebab-akibat sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku.

Pertama, kita perlu proaktif dalam menilai situasi dengan tidak melihat melalui kacamata sendiri, tetapi melihat menerusi kacamata orang lain. Kita perlu cuba memakai ‘kasut’ orang lain, tetapi sebelum itu kita mesti menanggalkan dahulu ‘kasut’ sendiri, kerana motif di akhirnya adalah untuk kita merenung diri sendiri, bukan menyalahkan orang lain.

Kedua, proses berfikir yang dijalankan hendaklah dilakukan seorang diri atau berdua. Refleksi seorang diri dilaksanakan seperti mengupas kulit bawang satu persatu. Semakin kita mengupasnya, semakin sukar dengan mata yang pedih dan lelehan air mata, tetapi kita tetap istiqamah mengupasnya mengenangkan manfaat yang lebih besar kemudiannya. Jika dilakukan berdua, perlulah dipilih seorang rakan yang akan mengupas kulit bawang kita satu persatu dengan telus dan jujur tanpa selindung. Proses ini perlu berlaku seorang diri atau berdua dan ingatan ini telah ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku)”. Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Saba’: 46)

Ketiga, juzuk yang menjadi asas renungan dan muhasabah ialah hati atau jiwa sendiri. Ini yang disebut sebagai Tazkiyah al-Nafs atau proses membersihkan jiwa. Cara penilaiannya ialah dengan menghitung timbang tara ibadah seharian. Bermula dari ibadah khusus dari sekecil-kecil aspek seperti berwuduk sampailah kepada ibadah umum seperti pergaulan dan muamalat. Proses ini bukan sahaja bermanfaat dalam memperbaik ibadah dan amalan, tetapi meletakkan kita kembali di landas yang betul supaya tauhid dan syariah tidak tergugah.

Proses Tindak

Proses fikir menatijahkan proses tindak. Sesuatu yang ideal kadang-kadang tidak seperti realiti. Ideal di fikiran sifatnya aman, tapi realitinya kadang-kadang kacau-bilau. Justeru, menghubungkan ideal dengan realiti itu sangat penting, dan di sinilah perlunya untuk kita merancang tindakan. Namun, apakah langkah awal untuk merancang tindakan itu?

Untuk memudahkan kefahaman tentang proses tindak ini, mari kita sebak-sebak kembali imaginasi kita tentang filem animasi popular yang berjudul How To Train Your Dragon. Hero filem ini bernama Hiccup hidup dalam sebuah komuniti Viking yang diketuai oleh ayahnya sendiri. Misi kehidupan mereka adalah dengan membunuh naga. Pejam celik kehidupan mereka sehari-hari adalah dengan fikiran naga mana yang perlu dibunuh, kerana naga merupakan ancaman komuniti dan merupakan musuh mereka.

Berbeza dengan sikap Hiccup. Melalui kreativitinya dia berjaya menangkap Night Fury, seekor naga yang paling ditakuti komunitinya dan yang menarik, ialah Hiccup cuba perlahan-lahan memahami kehidupan naga tersebut dan akhirnya membuat kesimpulan bahawa sebenarnya mereka bukan pembunuh, tetapi berasa terancam dan cuba mempertahan diri daripada dibunuh oleh komuniti Viking.

Apa yang dilakukan oleh Hiccup ialah cuba menongkas arus kebiasaan membunuh naga yang dilakukan oleh komunitinya iaitu dengan berusaha memahami sebelum menghukum mereka adalah musuh. Pengajaran yang paling penting di sini ialah pada perkataan ‘memahami’ kerana itulah kunci untuk menjadi personaliti yang berjaya.

Alat untuk memahami adalah dengan dua mata dan telinga. Malang sekali, kita selalu benar menggunakan mulut dan lidah yang satu untuk cuba memahami. Hakikatnya Allah menciptakan buat kita dua mata dan telinga supaya kita lebih banyak mendengar dan melihat daripada banyak berkata-kata. Bukankah kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang, dan lidah itulah alat yang paling selalu menghumban manusia ke neraka?

Gunakan mata untuk melihat apa yang tidak diperlihatkan. Jika berkomunikasi bersama ibu, perhatikan bahasa badan ibu, gerak tubuhnya yang mungkin dalam keadaan tidak selesa, tergesa-gesa, tidak senang duduk, itu semua menggambarkan sesuatu, sepertimana kita juga pernah mengalami keadaan yang sama. Gunakan telinga untuk mendengar apa yang tidak diperdengarkan. Jika seorang rakan, dengarkan intonasi suaranya dengan baik. Kadang-kadang apa yang diperkatakan secara zahir adalah berbeza dengan kehendak hati nuraninya, dan dia sukar menyembunyikannya terutama melalui nada suaranya. Jika dia berkata “mahu” tetapi nada suaranya mendatar, itu menunjukkan belum tentu hatinya benar-benar mahu.

Gunakan mata dan telinga untuk memahami. Cuba memahami orang lain itu penting buat diri sendiri supaya kita pula akan difahami. Bertepatan dengan prinsip yang diperkenalkan oleh Dr. Stephen R. Covey iaitu “Seek First to Understand than to be Understood” – memahami orang lain dahulu sebelum kita difahami. Melalui dua mata dan telinga, kita akan lebih memahami orang di sekeliling kita, kerana kita banyak menggunakan mata dan telinga dari mulut dan lidah. Pastikan selalu kita meletakkan niat yang tepat di hadapan, iaitu tujuan memahami adalah untuk menyayangi sesama Muslim dan kerana Allah, dan tiada yang lebih penting daripada itu.

Benar, anda tidak perlu menjadi kaunselor atau ahli psikologi untuk melakukannya. Hanya sediakan mata dan telinga dan teruskan belajar serta timba pengalaman demi pengalaman. Malah, kita juga boleh mengumpul pengalaman orang lain sebagai pengajaran melalui mata dan telinga, dan sesungguhnya tiada guru yang terbaik melainkan sebuah pengalaman.

Ya, setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza, tetapi setiap orang juga mempunyai persamaan yang sama, iaitu memiliki dua mata dan telinga!

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *