Home » Persuasif » Maka menjadilah kamu kerana nikmatnya bersaudara …

Maka menjadilah kamu kerana nikmatnya bersaudara …

Oleh IBNU MAJID

Persatuan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi pemangkin bagi perkembangan, kemajuan dan kemakmuran suatu negara. Malahan semua aliran dalam Islam menyatakan bahawa Rasulullah SAW menuntut kita agar memelihara persaudaraan dan rasa saling menghormati di antara sesama Islam. Maknanya persatuan di antara sesama Muslim sangat dititikberatkan oleh Nabi SAW.

Demikian juga semangat al-Quran secara keseluruhan sebenarnya adalah semangat persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat persatuan atau perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. Antaranya ialah surah al-Hujurat ayat 10, al-Syura ayat 13, al-Mukminun ayat 32 dan ayat yang paling popular ialah surah Ali-Imran ayat 103.

Pada ketika ini umat Islam di negara ini sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, parti pemerintah dan pembangkang.

Secara fitrah, ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan bukan persengketaan. Fitrah semula jadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua manusia.

Justeru manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting daripada itu, umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, peribadi atau sebagainya.

Umat Islam perlukan kematangan untuk menghadapi situasi hari ini dengan tenang supaya segala faktor negatif tidak memerangkap dan menjatuhkan kita sekali lagi dalam fitnah kekacauan seperti yang berlaku di zaman sahabat (Khalifah Ali dan Othman) dahulu.

Sejarah mencatatkan sering kali kita dikalahkan kerana kita tidak bersatu. Demikian juga dalam keadaan berpecah belah itu pasti akan saling menyerang dan saling berusaha menghancurkan satu sama lain.

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan, asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad SAW telah membuktikan hakikat tersebut dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103).

Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam – yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama, tetapi Allah SWT sendiri.

Tidak ada yang menyatukan perbezaan di antara selain Islam dan tidak ada yang menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya milik umat tertentu sahaja.

Justeru, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar sedangkan orang lain tidak betul merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.

Justeru, kita mengakui al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Sesungguhnya amat malang apabila seseorang yang telah dianugerah Islam serta menjadi pengikut Nabi SAW yang pengasih dan penyayang sentiasa berada di jalan perpecahan.

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *