Home » Uncategorized » Himpunan NGO Islam di Putrajaya anjuran YADIM

Himpunan NGO Islam di Putrajaya anjuran YADIM

PUTRAJAYA – Hampir 350 pemimpin pemimpin pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO Islam) menghadiri program perjumpaan khas bersama kepimpinan negara anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini pada 19 September.
Program Perjumpaan Khas Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin Perdana Menteri, Bersama Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Dewan De Seri Endon di sini bertujuan menghimpunkan dan mempertemukan pimpinan atau wakil wakil NGO Islam yang bersama di bawah Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).
Majlis ini juga bertujuan membentuk resolusi bersama ke arah pembaharuan pandangan, pendekatan dan gerak kerja yang perlu dilaksanakan terutamanya oleh pertubuhan Islam di Malaysia.
MAIM merupakan sebuah platform perhimpunan NGO Islam di bawah YADIM yang ditubuhkan pada tahun 2009.
Hadir sama ke majlis ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, timbalannya, Yang Berhormat Ahmad Marzuk Shaary, Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan dan Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti dan kepimpinan badan dakwah ini.
Pada masa yang sama, majlis ini juga memberi peluang kepada wakil wakil NGO yang hadir untuk menyuarakan pandangan dan saranan mereka kepada pimpinan negara menerusi sesi sumbang saran yang disertai oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary serta Ustaz Nasrudin.
Antara yang diutarakan oleh wakil wakil NGO yang hadir ialah isu penyerapan guru Kafa, penubuhan Universiti Rakyat, penguasaan tulisan Jawi, penguasaan ekonomi, kemahiran guru agama serta kerjasama latihan dakwah.
Dalam majlis ini juga, satu resolusi hasil perhimpunan ini diserahkan sendiri kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri oleh Ustaz Nasrudin Hassan.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya menyeru supaya NGO Islam di negara ini agar bersatu padu tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan latar belakang sosial.
Ujarnya lagi, YADIM sebagai institusi dakwah mempunyai peranan yang amat penting iaitu bukan sahaja untuk menyemarakkan kegiatan ilmu dalam kalangan masyarakat Islam, tetapi melaksanakan tugas dakwah secara berhikmah menerusi aktiviti-aktiviti pendidikan, latihan dan outreach yang dilaksanakan.
Peranan ini katanya, juga perlu disokong dan digalas secara bersama oleh NGO-NGO Islam.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YADIM dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis perjumpaan yang amat bermakna ini.
Datuk Dr Zulkifli juga berkongsi pandangan Perdana Menteri apabila berkata banyak yang boleh dicapai umat Islam menerusi badan bukan kerajaan sekiranya mereka bersatu.
Beliau turut mencadangkan agar majlis yang sama diadakan pada masa akan datang dengan tempoh yang lebih panjang.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *