Home » Langit Terbuka » Hubungan ‘cinta senyap’ berakhir dengan perkahwinan

Hubungan ‘cinta senyap’ berakhir dengan perkahwinan

HAWARI dan isteri, Safiyyah ketika majlis akad nikah yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, USIM, Nilai pada Sabtu lalu. - Foto ihsan pembaca

SEREMBAN: Hubungan ‘cinta senyap’ antara pasangan orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan bisu yang terjalin selama tujuh tahun, berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Muhammad Hawari Hashim mengambil keputusan melamar wanita mualaf, Safiyyah Tang Xie Li, yang juga mempunyai kecacatan sama selepas yakin sahabatnya itu adalah jodoh diberikan Allah.

Hawari dan Safiyyah masing-masing berusia 28 tahun itu disatukan dalam majlis pernikahan di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, pada Sabtu lalu.

Hawari berkata, dia mula mengenali Safiyyah sejak berusia 16 tahun ketika sama-sama bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas tetapi hubungan itu sekadar rakan sekolah.

“Kami bertemu semula kira-kira tujuh tahun lalu, sebelum berkawan secara serius. Kami membuat keputusan untuk berkahwin selepas mengikat pertunangan, pada tahun lalu.

“Saya bersyukur majlis perkahwinan yang dirancang berjalan lancar. Semuanya berkat bantuan keluarga, rakan dan Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa (Yayasan Faqeh),” katanya ketika dihubungi menerusi kiriman mesej di aplikasi WhatsApp di sini, hari ini.

Menariknya pada majlis itu, Hawari mempersembahkan bacaan lima surah iaitu al-Fatihah, tiga Qul dan al-Asr menggunakan bahasa isyarat, sebelum dinikahkan bapa angkat Safiyyah, Norakyairee Mohd Raus.

“Bacaan surah itu adalah atas permintaan isteri saya sebelum kami berkahwin. Alhamdulillah, saya berjaya menghafal surah berkenaan dalam tempoh tiga bulan dengan bantuan seorang ustazah.

“Saya akan terus belajar mendekatkan diri dengan al-Quran dan menghafal lebih banyak ayat-ayat suci serta mengembangkan lagi teknik hafalan yang berkesan untuk golongan seperti saya. Semoga ia membawa keberkatan dan keredhaan Allah,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Video majlis pernikahan pasangan istimewa itu menjadi tular di laman sosial Facebook sejak semalam, dengan mendapat tontonan dan disukai lebih 10,000 kali. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *