Home » Langit Terbuka » Hujan tidak halang 5,000 umat Islam zahir rasa cinta, rindu kepada Rasulullah

Hujan tidak halang 5,000 umat Islam zahir rasa cinta, rindu kepada Rasulullah

Malam Cinta Rasul pada tahun ini turut menampilkan tokoh agama terkenal seperti Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Ustaz Abu Zaki, Ustaz Najmuddin Osman, Ustaz Wan Helmi Al Hafiz dan beberapa tokoh agama- Foto Arkib
SERDANG – Menzahirkan rasa rindu, cinta dan kasih kepada Rasulullah, Nabi Muhammad SAW tidak semestinya hanya dilakukan ketika Maulidur Rasul, boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja sebenarnya.
Itulah yang dilakukan lebih 5,000 umat Islam yang bersemangat menyertai Malam Cinta Rasul (MCR) anjuran Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia baru-baru ini.
Meskipun hujan lebat namun ia tidak menghalang mereka untuk memenuhi Dewan Banquet Universiti Putra Malaysia (UPM) seawal jam 6 petang lagi.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia, Muhammad Fazil Mohd Dali mengakui terkejut dengan sambutan luar biasa daripada orang ramai kerana hujan lebat berterusan sebelum program bermula.
“Dewan Banquet yang boleh memuatkan 3,000 orang telah dipenuhi semasa Solat Maghrib manakala pihak penganjur juga menyediakan khemah besar di luar kawasan dewan bagi menampung 2,000 orang lagi pengunjung.
“Malam Cinta Rasul yang diadakan pada kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang pertama kali diadakan pada tahun 2020 di lokasi yang sama.
“Melihat pada sambutan luar biasa, kami berhasrat untuk menganjurkan program seterusnya di lokasi yang lebih besar bagi memuatkan lebih ramai pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Tambahnya, program tersebut merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan Pengerusi MITB, Datuk Hishamuddin Abdul Karim turut sama hadir pada malam itu.
MCR pada tahun ini turut menampilkan tokoh agama terkenal seperti Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Ustaz Abu Zaki, Ustaz Najmuddin Osman, Ustaz Wan Helmi Al Hafiz dan beberapa tokoh agama. – Astro Awani

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *