Home » Langit Terbuka » Hukuman mati mandatori mungkin dipinda kepada penjara seumur hidup

Hukuman mati mandatori mungkin dipinda kepada penjara seumur hidup

Banyak pihak berpendapat hukuman gantung sampai mati kerana kesalahan mengedar dadah sekarang tidak lagi berkesan. - Foto hiasan FMT

PUTRAJAYA – Hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah mungkin dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan akan mengkaji undang-undang berhubung kesalahan berkaitan dadah kerana ada pihak berpendapat hukuman dikenakan sekarang terlalu keras.

“Kita kaji undang-undang kerana undang-undang sekarang ini amat keras iaitu kalau didapati sesiapa memiliki sekian banyak dadah, maka hukuman yang boleh dijatuhkan ialah hukuman mati.

“Banyak berpendapat dia (hukuman) tak berkesan sebab itu masih ada mereka yang mencari duit tidak halal dengan mengedar dadah.

“(Kerajaan) akan kaji sama ada dakwaan ini betul atau tidak dan jika kita dapati ada cara lain dalam undang-undang yang boleh mencegah penyalahgunaan dadah atau pengedaran dadah, maka kita akan pinda undang-undang,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan di sini pada 18 Februari.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Zuki Ali, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Sementara itu dalam ucapannya, katanya beliau percaya sudah sampai masanya kerajaan menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend semasa dadah.

“Trend penyalahgunaan dadah telah berubah…daripada dadah konvensional berasaskan tumbuhan seperti ganja, morfin dan heroin, ia kini beralih kepada dadah sintetik yang lebih memudaratkan.

“Turut membimbangkan ialah peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti methamphetamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baharu, New Psychoactive Substances (NPS) di pasaran Asia. Lebih membimbangkan, kini muncul ratusan bahan psikoaktif baharu di seluruh dunia,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *